KUALA LUMPUR, 23 OKT: Penglibatan golongan muda dalam subbudaya dalam talian yang mengagungkan pembunuh tegar kini menjadi ancaman baharu yang memerlukan perhatian serius pihak berkuasa, susulan beberapa insiden serangan di sekolah baru-baru ini.
Penganalisis keselamatan Munira Mustaffa berkata tiga insiden berasingan melibatkan sekolah di Kuching, Sarawak pada Rabu lepas; Banting, Selangor pada Julai lepas: dan Bandar Utama, Petaling Jaya pada Oktober 2026, dipercayai mempunyai kaitan dengan kecenderungan remaja terbabit terhadap subbudaya True Crime Community (TCC).
Beliau menjelaskan subbudaya TCC lazimnya mengagungkan insiden pembunuhan beramai-ramai seperti kes tembakan di Sekolah Tinggi Columbine, Amerika Syarikat pada 1999 dan Masjid Christchurch, New Zealand pada 2019, selain membentuk persepsi negatif bahawa dunia bersikap kejam terhadap mereka.

"Pendedahan kepada subbudaya ini berisiko mendorong remaja terjerumus ke dalam fahaman Ekstremisme Berkelakuan Kejam Misanthropik dan Nihilistik (M/NVE), iaitu satu bentuk fahaman yang menyemaikan kebencian mendalam terhadap manusia serta masyarakat secara keseluruhan.
"Fokus perbincangan awam yang hanya menuding jari kepada platform permainan dalam talian atau media sosial tertentu adalah kurang tepat kerana jaringan subbudaya ini sebenarnya beroperasi secara meluas di pelbagai pelosok laman sesawang biasa (surface web)," katanya.
Munira berkata ancaman agak sukar dikesan kerana pelaku berkemungkinan bertindak bersendirian dan sering bermula dengan dendam peribadi yang kemudian memuncak menjadi kebencian terhadap masyarakat.
"Mereka merancang sasaran, masa dan lokasi dengan teliti, lazimnya sasaran mudah seperti sekolah, dan menyiarkan manifesto atau siaran langsung untuk meraih perhatian komuniti subbudaya mereka," katanya.
Beliau berkata kaedah serangan pula diilhamkan oleh serangan terdahulu, yang dikaji dengan teliti untuk meningkatkan keberkesanan dan sebagai penghormatan kepada pelaku sebelumnya.
Bagi menangani ancaman tersebut, beliau menegaskan insiden serangan di sekolah perlu dicegah pada peringkat awal menerusi kerjasama rapat antara pihak sekolah, ibu bapa, pihak berkuasa, dan pelajar sendiri.
Beliau berkata faktor umur yang muda serta dorongan untuk mendapatkan perhatian sering menyebabkan remaja terbabit membocorkan niat atau perancangan mereka kepada rakan sebaya, sama ada di sekolah mahupun menerusi platform dalam talian.
"Usaha pencegahan ini memerlukan tahap kepercayaan yang tinggi antara pelajar dan guru. Pelajar perlu berasa selamat serta yakin bahawa mereka tidak akan berdepan tindakan negatif sekiranya melaporkan tingkah laku mencurigakan rakan mereka.
"Pada masa sama, guru dan ibu bapa perlu peka dalam mengenal pasti perubahan tingkah laku serta tanda amaran (red flags), termasuk memantau rakan pergaulan anak-anak di alam maya," katanya.
Bagaimanapun, Munira mengingatkan sebarang perubahan tingkah laku atau tanda amaran perlu dinilai secara kumulatif dan menyeluruh, dan menekankan tindakan susulan hanya wajar diambil sekiranya terdapat pelbagai tanda jelas yang menjurus ke arah ancaman berkenaan.







