Dakwaan petrol bercampur air: KPDN tunggu hasil analisis 27 sampel

18 Okt 2026, 8:37 AM
Dakwaan petrol bercampur air: KPDN tunggu hasil analisis 27 sampel

SHAH ALAM, 18 OKT: Analisis 27 sampel petrol RON95 daripada tujuh stesen minyak di Selangor susulan dakwaan bahan api bercampur air dijangka mengambil masa beberapa bulan sebelum keputusan diperoleh.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata sampel itu diambil dari stesen minyak di sekitar Klang, Sungai Buloh, Puchong dan Shah Alam, lapor Berita Harian.

Menurutnya, KPDN belum dapat mengesahkan dakwaan pencemaran air dalam petrol sehingga keputusan analisis Jabatan Kimia Malaysia diperoleh dan siasatan lanjut selesai.

“Proses analisis boleh mengambil masa sehingga beberapa bulan. Bagaimanapun, KPDN sudah memohon supaya Jabatan Kimia Malaysia mempercepatkan analisis sampel bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya.

Semalam, media melaporkan KPDN Selangor memeriksa tujuh stesen minyak dan mengambil 27 sampel petrol RON95 susulan aduan pengguna yang mendakwa bahan api itu menyebabkan kerosakan enjin kenderaan.

Pemeriksaan dan siasatan lapangan dijalankan susulan aduan orang awam serta laporan yang tular di media sosial.

Muhamad Hanif berkata, pihaknya setakat ini menerima 10 aduan rasmi yang membabitkan tujuh stesen minyak terbabit.

Katanya, aduan pengguna merangkumi pelbagai masalah enjin, termasuk bunyi tidak normal, enjin semput, kehilangan kuasa dan gagal dihidupkan, selain kes injap enjin terbakar.

“Pemeriksaan lanjut oleh pusat servis pengeluar kenderaan turut mengesahkan kerosakan enjin bagi sesetengah kenderaan pengadu berpunca daripada pencemaran air dalam tangki bahan api,” katanya.

Beliau berkata, semua premis terbabit mempunyai Lesen Kebenaran Khas (CSA) dan lesen di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) yang masih sah.

Menurutnya, KPDN turut mengeluarkan notis mengikut Seksyen 32 Akta Perihal Dagangan 2011 bagi menghendaki pemilik premis mengemukakan maklumat serta dokumen berkaitan perniagaan untuk membantu siasatan.

Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan pelanggaran Seksyen 5(1)(c), dibaca bersama Seksyen 6(1)(d) dan Seksyen 7 akta sama, berkaitan dakwaan perihal dagangan palsu mengenai kandungan petrol yang dibekalkan.

Sementara itu, Caltex Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya mengambil maklum isu kualiti petrol RON95 yang dibangkitkan dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Menurut syarikat itu, sampel sudah diambil daripada pelbagai peringkat pengendalian sepanjang rantaian bekalan sebagai sebahagian daripada protokol dan langkah pematuhan.

“Sampel turut diambil daripada kenderaan yang dilaporkan terjejas dan semuanya sudah dihantar ke makmal bertauliah untuk pemeriksaan.

“Kami menghargai kesabaran pelanggan sepanjang proses ini dan memandang serius perkara itu serta berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya,” menurut kenyataan itu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.