SHAH ALAM, 18 OKT: Kementerian Kewangan (MOF) menafikan dakwaan kononnya caj perkhidmatan kod respons pantas (QR) akan mula dikenakan pada 1 November seperti yang tular menerusi sebuah poster di media sosial.
Kementerian itu menegaskan maklumat yang terkandung dalam poster berkenaan adalah palsu dan tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat mengenai pelaksanaan caj tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan poster yang mendakwa QR memulakan caj perkhidmatan pada 1 November 2026 kerana maklumat tersebut adalah palsu,” menurut kenyataan kementerian itu.

Sehubungan itu, orang ramai disaran supaya sentiasa merujuk saluran rasmi Kementerian Kewangan bagi mendapatkan maklumat yang sahih sebelum berkongsi sebarang berita.
Langkah itu penting bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.







