SHAH ALAM, 15 OKT: Seorang pemandu kereta elektrik BYD mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching, Sabtu lalu.
Tertuduh, Raeven Goh Wey Haur, 24, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.
"Tidak mengaku salah," katanya ketika berdiri di dalam kandang tertuduh seperti dilaporkan BH.
Mengikut pertuduhan pertama, pegawai bank itu didakwa memandu kereta BYD Seal secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5, di Jalan Kuching dari arah pusat bandar menghala ke Segambut pada jam 3.44 petang, 10 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya di lokasi dan waktu sama mengikut Seksyen 42(1) akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda RM5,000 hingga RM15,000.

Raeven turut menghadapi pertuduhan ketiga kerana gagal berhenti selepas terbabit dalam kemalangan di lokasi dan waktu sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama, dengan denda tidak kurang RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan jaminan RM50,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan, selain memohon lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Pihak pendakwaan turut memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam bela Kailash Sharma memohon jaminan minimum dengan mengambil kira kerjasama keluarga tertuduh bersama polis sejak hari kejadian.
Beliau turut mencadangkan bapa tertuduh berusia 55 tahun yang menjalankan perniagaan sejak 26 tahun lalu sebagai penjamin.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.
Majistret Aliaa turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung mulai hari ini sehingga kes selesai, selain pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 19 November depan.
Ahli keluarga mangsa turut hadir pada prosiding hari ini bersama peguam pemerhati, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor.





