Jerebu: PIBG saran sekolah diberi kuasa tutup operasi

15 Okt 2026, 12:00 AM
Jerebu: PIBG saran sekolah diberi kuasa tutup operasi
Jerebu: PIBG saran sekolah diberi kuasa tutup operasi

SHAH ALAM, 15 OKT: Pengurusan sekolah perlu diberi kuasa menutup operasi jika indeks pencemaran udara (IPU) melebihi paras yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Nasional, langkah itu memudahkan sekolah membuat persediaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selain menyenangkan ibu bapa.

Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata kaedah tersebut membantu pengurusan sekolah membuat keputusan lebih awal tanpa perlu menunggu pengumuman KPM atau jabatan pendidikan negeri.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Nasional Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan

“Harap dengan kebenaran kepada sekolah untuk umum penutupan akan memudahkan segala urusan. Yang penting, pelajar dapat menjalani sesi pembelajaran," katanya kepada Media Selangor.

Beliau juga memberitahu pendekatan tersebut perlu dipertimbang semua pihak secara serius ekoran kebanyakan sekolah pada masa ini sedang mengadakan peperiksaan akhir tahun.

Menurut Dr Mohamad Ali, kaedah pemakluman penutupan sekolah pada waktu petang yang dijalankan pada masa sekarang kurang berkesan dan perlu diganti pendekatan lebih pantas dan berkesan.

“Kalau tunggu, mungkin jadi lambat. Yang penting ikut garis panduan. Bagaimanapun sekolah perlu ada kerjasama dengan pejabat pendidikan daerah untuk selaraskan keputusan,” katanya.

Pada 8 Oktober, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata semua institusi bawah KPM di kawasan yang mencatat bacaan IPU melebihi 180 akan ditutup mulai 9 Oktober.

Katanya, penutupan itu susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan sekolah di kawasan terjejas jerebu ditutup jika IPU berpanja-ngan pada tahap 150 hingga 180.

Pengurusan sekolah perlu memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dibuat menggunakan kaedah sesuai, mengambil kira kemampuan, akses serta keperluan murid dan kesiapsiagaan guru.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.