SHAH ALAM, 14 OKT: Pelan Induk Pelancongan Selangor 2026–2030 memberi tumpuan kepada pembangunan dua kluster utama, iaitu Gombak-Hulu Langat dan Bandar Diraja Klang, menerusi 44 cadangan pembangunan di bawah jenama ‘Dua Warisan, Satu Selangor’.
Menurut pelan induk itu, sebanyak 44 cadangan merangkumi 34 projek dan 10 program akan dilaksanakan dalam tiga fasa, bermula dengan 12 cadangan berimpak segera pada 2026.
Pembangunan kedua-dua kluster itu melibatkan pembentukan koridor pelancongan dan mikrokluster bagi menghubungkan pelbagai tarikan, termasuk keindahan alam semula jadi, biodiversiti, sejarah penempatan, warisan Kesultanan Selangor, perdagangan, budaya, gastronomi dan warisan maritim.
Pendekatan itu menggabungkan konsep ‘Warisan Bumi’ dan ‘Warisan Peradaban’ bagi membentuk identiti pelancongan negeri yang bersepadu, sekali gus menawarkan pengalaman pelancongan dengan tarikan dan keunikan tersendiri.
Kluster Gombak-Hulu Langat merangkumi tiga koridor pelancongan, iaitu Koridor Batu Arang-Sungai Tua, Koridor Gombak-Dusun Tua dan Laluan Ultra Semenyih-Nuang.
Kluster itu turut meliputi lima mikrokluster utama, iaitu Warisan Batu Arang, Sungai Tua, Jungle School Gombak, Kemensah-Klang Gates dan Dusun Tua.
Bagi pembangunan di bawah kluster itu, enam projek dirancang di Batu Arang, lima di Sungai Tua, empat di Jungle School Gombak, enam di Kemensah-Klang Gates dan empat di Dusun Tua.
Setiap koridor dan mikrokluster mempunyai produk, tarikan, laluan serta konsep pelancongan tersendiri, dengan kerja naik taraf dan pembangunan dirancang berdasarkan keperluan setiap lokasi.
Sementara itu, Kluster Pelancongan Bandar Diraja Klang merangkumi dua mikrokluster, iaitu Pusat Bandar Klang dan Pulau Ketam, serta Koridor Sungai Klang.
Ketiga-tiga kawasan itu dikenal pasti mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai tumpuan pelancongan di daerah Klang.
Mikrokluster Pusat Bandar Klang melibatkan tujuh cadangan pembangunan, manakala Pulau Ketam dan Koridor Sungai Klang masing-masing mempunyai tujuh dan lima cadangan.
Kesemua 44 cadangan pembangunan itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tiga fasa yang ditetapkan dalam pelan induk berkenaan.
Sebanyak 12 cadangan akan dilaksanakan pada 2026 sebagai projek berimpak segera, manakala 24 lagi dijadualkan dalam fasa kedua dari 2027 hingga 2028.
Baki lapan cadangan pula akan dilaksanakan dalam fasa ketiga, iaitu dari 2029 hingga 2030.







