KUALA LUMPUR, 13 OKT: Pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027, pendaftaran pelarian Myanmar menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dan langkah menangani krisis kemanusiaan di Gaza adalah antara isu yang dijadualkan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal rasmi Parlimen, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) meminta Menteri Ekonomi menjelaskan mekanisme kerajaan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum itu tidak menyebabkan pengurangan pekerja, kenaikan harga barangan atau peningkatan kos operasi perusahaan kecil.
Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sasaran pendaftaran pelarian Myanmar dalam tempoh dua tahun menerusi Program DPP, termasuk jumlah yang disasarkan dan garis masa pelaksanaannya.
Sementara itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) meminta Menteri Luar Negeri menjelaskan langkah strategik kerajaan susulan tiga tahun genosid di Gaza, khususnya bagi memperkukuh perlindungan rakyat Palestin, akses bantuan kemanusiaan, pertanggungjawaban antarabangsa dan pembinaan semula Gaza.
Pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pula, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan jumlah kapasiti penjanaan bersih baharu yang dijangka beroperasi menjelang 2030 serta kapasiti yang telah diikat melalui Perjanjian Bekalan Tenaga dengan pusat data.
Selain itu, Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah calon guru simpanan dalam kalangan anak Sarawak yang masih menunggu tawaran pelantikan serta jumlah kekosongan jawatan guru mengikut opsyen dan perancangan untuk menyerap calon guru berkenaan.
Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pula mahu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjelaskan status kajian bagi menggubal undang-undang khusus bagi menangani kegiatan “ulat tiket” termasuk kelemahan undang-undang sedia ada yang menyukarkan usaha membendung kegiatan itu.
Selesai sesi soal jawab, persidangan dewan dijadualkan diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar susulan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat lalu.
Berdasarkan takwim Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15, perbahasan Belanjawan 2027 pada peringkat dasar berlangsung dari 12 hingga 22 Oktober, sebelum sesi penggulungan oleh menteri berkaitan selama empat hari bermula 26 Oktober.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Disember.










