SYDNEY, 12 OKT: Hampir satu bilion penduduk di seluruh dunia dijangka menghidap osteoartritis menjelang 2050, meningkat daripada kira-kira 600 juta orang pada 2023, menurut satu pelan hala tuju yang dikeluarkan pada Isnin, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Curtin University di Australia pada Isnin, sehingga kini masih tiada penawar atau ubat yang mampu menghentikan atau memperlahankan perkembangan penyakit itu, mendorong penyelidik menggesa dasar kesihatan yang lebih kukuh bagi menangani peningkatan beban ketidakupayaan di seluruh dunia.
Pelan hala tuju dasar kesihatan global yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet sempena Hari Artritis Sedunia oleh sekumpulan penyelidik antarabangsa yang diketuai Curtin University mendapati osteoartritis masih kurang diberikan perhatian dalam dasar kesihatan di seluruh dunia.
Penyakit itu juga sering tidak diintegrasikan dengan secukupnya dalam penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi penyakit kronik, selain pendekatan rawatan dan pencegahannya yang tidak konsisten serta sering tidak bersesuaian.
Pelan hala tuju itu menggesa kerajaan mengiktiraf osteoartritis sebagai penyakit kronik utama, meningkatkan akses kepada rawatan berasaskan bukti serta melabur dalam langkah pencegahan dengan menangani masalah berat badan berlebihan dan kecederaan sendi.
Ia turut mengesyorkan supaya penjagaan osteoartritis diintegrasikan dengan perkhidmatan rawatan penyakit kronik dan pemulihan yang lebih menyeluruh.
"Osteoartritis berdepan masalah persepsi kerana masyarakat sering menganggapnya sebagai sebahagian daripada proses penuaan yang tidak dapat dielakkan, selain beranggapan pilihan rawatannya terhad," kata penulis utama laporan itu, Profesor Andrew Briggs dari Curtin University.
Profesor Lyn March, seorang lagi penulis kanan bersama dari Kolling Institute di Australia, berkata beban ketidakupayaan global akibat osteoartritis meningkat 65 peratus antara 1990 hingga 2023.
Penyelidik memberi amaran bahawa peningkatan kadar obesiti, penuaan penduduk dan pertambahan kes kecederaan sendi dijangka terus menyumbang kepada peningkatan jumlah pesakit dalam beberapa dekad akan datang.





