KUALA LUMPUR, 10 OKT: Peningkatan tempoh cuti bersalin kepada maksimum 98 hari bagi setiap kelahiran satu pengiktirafan terhadap keperluan wanita dalam mengimbangi tanggungjawab pekerjaan, pemulihan selepas bersalin dan penjagaan anak.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr Rajwani Md Zain berkata tempoh cuti yang lebih panjang memberikan ruang kepada ibu menyesuaikan diri dengan perubahan kehidupan selepas kelahiran.
Beliau berkata dari aspek kebajikan anak, masa yang diluangkan bersama ibu pada peringkat awal kehidupan penting untuk membina hubungan erat dan keperluan bayi difahami dengan lebih baik.
Peningkatan kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan kepada 490 hari turut memberikan fleksibiliti lebih besar kepada penjawat awam wanita untuk memanfaatkan kemudahan itu bagi kelahiran seterusnya, tertakluk kepada peraturan pelaksanaan.
Mengulas peruntukan RM20 juta untuk menambah baik pusat penjagaan kanak-kanak di fasiliti kerajaan, Rajwani berkata kemudahan itu perlu menyediakan persekitaran yang selamat dan berkualiti, mudah diakses serta dikendalikan oleh pengasuh terlatih.
“Kemudahan ini dapat membantu mengurangkan kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak ketika mereka bekerja, ditambah dengan situasi atau isu-isu sosial sekarang seperti penderaan atau kemalangan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr Janice Nga berkata peningkatan tempoh cuti bersalin kepada 98 hari bagi setiap kelahiran merupakan perkembangan yang baik, namun terdapat kebimbangan langkah itu boleh mempengaruhi keputusan majikan untuk mengambil pekerja wanita.
Janice, yang juga Ketua Kluster Ekonomi Perancangan dan Pembangunan Pusat Pembangunan dan Dasar Ekonomi (CEDP) UMS berkata pelaburan dalam latihan kemahiran berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu diberi perhatian bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) mencapai tahap berdikari dan tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi.
-- BERNAMA






