SHAH ALAM, 9 OKT: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, sekali gus memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 hari ini berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan.
Dalam usaha memperbaiki pendapatan pekerja mengikut tahap kemahiran dan kelayakan, kerajaan turut memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerja separa mahir dan graduan sebagai permulaan.
“Kadar gaji minimum hanya menaikkan lantai pendapatan pekerja, sementara upah pekerja mahir masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan mereka. Oleh itu, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum bagi pekerja separa mahir dan graduan kepada RM2,500 sebulan sebagai permulaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menaikkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini.
Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja.
Anwar turut menggesa majikan sektor swasta mengikuti langkah berkenaan dengan menawarkan kadar gaji yang lebih wajar, seperti yang dilaksanakan beberapa majikan dalam sektor perbankan serta minyak dan gas.
“Kerajaan telah meningkatkan gaji minimum, menetapkan gaji minimum pekerjaan separa mahir dan graduan dan menaikkan gaji penjawat awam. GLIC dan GLC turut menunjukkan teladan. Malah, beberapa majikan sektor utama dalam perbankan serta minyak dan gas telah menetapkan gaji lebih wajar. Oleh itu, saya menyeru semua majikan swasta untuk mengikut jejak yang sama,” katanya.
Selain langkah meningkatkan pendapatan pekerja, kerajaan turut menetapkan syarat pembayaran gaji melalui akaun bank bagi tuntutan potongan cukai oleh syarikat selain PMKS, sebagai usaha membendung penggajian pekerja asing tanpa izin.
“Terkait hal gaji, bagi menutup ruang majikan menggaji pekerja asing tanpa izin, syarikat selain PMKS hanya boleh menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji, sekiranya ia dibayar melalui akaun bank selaras dengan saluran dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955. Potongan cukai bagi perbelanjaan lain tidak tertakluk syarat ini,” katanya.
Untuk rekod, kadar gaji minimum negara dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan mulai 1 Februari 2025 bagi majikan yang menggaji lima pekerja atau lebih serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional tanpa mengira bilangan pekerja.
Bagi majikan yang menggaji kurang daripada lima pekerja dan tidak menjalankan aktiviti profesional, kadar itu mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.







