SHAH ALAM, 9 OKT: Belanjawan 2027 meneruskan usaha memastikan kemajuan negara dinikmati seluruh rakyat dengan taraf hidup dipertingkat dan kehidupan bermaruah dapat dinikmati semua, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata Belanjawan MADANI kelima itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3.30 petang ini, dengan aspirasi “menggapai di langit serta mengakar di bumi”.
Beliau turut mengajak orang ramai mengikuti pembentangan itu secara langsung menerusi saluran televisyen dan platform digital utama.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) itu dirangka bagi meneruskan kesinambungan asas kukuh daripada belanjawan terdahulu.
Menurut kenyataan prabelanjawan di laman web Kementerian Kewangan, Belanjawan 2027 terus berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan ekonomi, menaikkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu pembaharuan tatakelola pentadbiran negara.







