Kerajaan Indonesia disaman akibat kebakaran, jerebu di Kalimantan 

8 Okt 2026, 3:48 AM
Kerajaan Indonesia disaman akibat kebakaran, jerebu di Kalimantan 

JAKARTA, 8 OKT: Kerajaan Indonesia berdepan saman berkaitan kebakaran hutan dan jerebu di Kepulauan Borneo dalam kes yang mula dibicarakan di mahkamah Pontianak di Kalimatan Barat bermula hari ini.

Agensi berita antarabangsa, AFP, melaporkan empat plaintif termasuk cabang tempatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Orang Asal, AMAN,  mendakwa kerajaan Indonesia melakukan “kecuaian serius”  alam sekitar di Kalimantan. 

Wilayah itu terjejas teruk akibat kebakaran dan asap sehingga menyebabkan sekolah ditutup selain ratusan penduduk terpaksa mendapatkan rawatan akibat masalah pernafasan. 

Peguam plaintif, Glorio Sanen berkata, kes itu merupakan “langkah untuk menangani masalah” kebakaran hutan tahunan yang sebahagian besarnya berpunca daripada kemusnahan hutan dan diburukkan lagi fenomena cuaca El Nino yang menyebabkan keadaan kemarau luar biasa tahun ini.

Indonesia sejak beberapa minggu lalu berusaha mengawal kebakaran yang memusnahkan kawasan hutan yang luas di Sumatera, Papua dan Borneo, selain menghasilkan jerebu tebal yang turut melanda Malaysia dan Singapura.

Tiada seorang pun daripada 10 defendan hadir pada prosiding berkenaan, menurut wartawan AFP yang berada di dalam mahkamah.

Dalam dokumen mahkamah yang dilihat AFP, plaintif mendakwa kerajaan melakukan “kecuaian serius” kerana gagal menangani masalah kebakaran yang berulang setiap tahun.

Mereka memohon kerajaan mengisytiharkan kebakaran dan jerebu itu sebagai bencana negara bagi membolehkan langkah pemulihan dan pemeliharaan menyeluruh dilaksanakan, termasuk menanggung kos rawatan kesihatan penduduk yang terjejas.

Saman serupa turut difailkan tahun lalu di sebuah mahkamah di Sumatera Selatan, bagaimanapun ia ditolak. 

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.