WHO pantau kematian pekerja makmal Rusia susulan laporan wabak pneumonia

6 Okt 2026, 1:58 PM
WHO pantau kematian pekerja makmal Rusia susulan laporan wabak pneumonia
WHO pantau kematian pekerja makmal Rusia susulan laporan wabak pneumonia

GENEVA, 6 OKT: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa berkata pihaknya “memantau rapi” kematian seorang pekerja makmal di Wilayah Irkutsk, Rusia, susulan laporan bahawa wabak pneumonia mungkin menjadi punca kematiannya, lapor Anadolu Ajansi.

Jurucakap WHO Christian Lindmeier berkata dalam taklimat di Geneva bahawa wanita itu meninggal dunia akibat radang paru-paru yang teruk pada 2 Okt, namun punca kematian belum disahkan secara rasmi.

Lindmeier berkata pihak berkuasa Rusia memberi maklum balas terhadap permintaan WHO untuk mendapatkan maklumat, sekali gus mengemas kini kenyataan terdahulu bahawa Moscow masih belum memberikan maklum balas rasmi melalui saluran Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR).

Menurut maklumat yang diberikan pihak berkuasa Rusia, siasatan epidemiologi dijalankan selepas satu kes radang paru-paru yang diperoleh daripada komuniti dikenal pasti dalam kalangan pekerja Institut Penyelidikan Saintifik Antiwabak Siberia dan Timur Jauh di Irkutsk.

“Penyakit itu pada mulanya menunjukkan gejala seperti jangkitan virus pernafasan akut biasa,” kata Lindmeier ketika membacakan maklum balas Rusia.

“Berdasarkan keputusan ujian, tiada patogen penyakit berjangkit berbahaya dikesan dalam kalangan mana-mana individu yang mempunyai kontak dengan pesakit,” katanya.

WHO menghubungi pihak berkuasa Rusia pada 3 Okt untuk mendapatkan maklumat dan menawarkan sokongan.

“Berdasarkan maklumat tidak rasmi yang tersedia, risiko kesihatan awam terhadap populasi umum dilihat rendah,” kata Lindmeier.

Penilaian awal WHO meletakkan risiko pada tahap “sederhana hingga rendah” bagi Irkutsk, “rendah” bagi Rusia secara keseluruhan dan “sangat rendah” bagi rantau Eropah WHO.

-- BERNAMA-ANADOLU

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.