SEPANG, 6 OKT: Seorang wanita berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Sepang/Salak pada 8.20 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata motosikal Honda C100 biru mangsa yang dipercayai melawan arus di lorong kiri bertembung dengan motosikal Honda C100 hitam dari arah Sungai Pelek menghala ke Nilai.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak dan jatuh di lorong kanan, dan dipercayai digilis Proton Saga Iswara kelabu. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhizam berkata mangsa yang bekerja di ladang penternakan lembu di Sepang manakala penunggang motosikal hitam itu lelaki warga India yang bekerja sebagai tukang masak dengan kedua-dua mereka tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Beliau berkata pemandu kereta ialah lelaki tempatan berusia 20-an yang bekerja sebagai penyelia sektor makanan dan minuman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Norhizam meminta saksi kejadian untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin menerusi talian 019-558 8221 atau 03-877 74264 atau hadir di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.





