SHAH ALAM, 6 OKT: Dua beradik lelaki didakwa menjadi mangsa buli rakan dan kekerasan guru di sebuah sekolah menengah agama di Chemor, Perak pada Julai dan Ogos lalu.
Ibu mereka yang berusia 43 tahun berkata dua laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian berkenaan dan berharap tindakan tegas diambil terhadap individu yang terbabit.
Menurut wanita itu, anak lelakinya berusia 18 tahun didakwa ditampar sebanyak enam kali di bahagian pipi oleh seorang guru ketika berada di sebuah bilik di sekolah berkenaan.
“Seterusnya, guru itu menarik kolar bajunya dan menggenggam penumbuk dengan ugutan menumbuknya,” katanya pada sidang akhbar di Tanjung Rambutan, semalam seperti dilapor Harian Metro.
Wanita itu juga mendakwa anaknya mengalami kesakitan pada bahagian muka, pipi, mulut dan rahang selepas kejadian.
“Anak saya juga mengadu rahangnya berbunyi apabila membuka mulut dan mengadu kesakitan,” katanya.
Dalam kejadian berasingan, seorang lagi anak lelakinya berusia 17 tahun turut didakwa menjadi mangsa buli di sekolah sama.
Wanita itu mendakwa anaknya ditampar dua kali, ditumbuk di leher dan dua kali di bahagian kiri muka oleh seorang rakan di asrama lelaki selepas enggan rambutnya digunting secara paksa.
Katanya, anaknya tidak dibawa mendapatkan rawatan di hospital atau klinik oleh pihak sekolah dengan alasan kejadian berlaku pada sebelah malam.
“Anak saya berasa takut dan tertekan kerana dipukul sehingga mengalami kecederaan selain bimbang kejadian kembali berulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah mengesahkan menerima dua laporan polis berhubung kejadian berkenaan.




