KUALA LANGAT, 5 OKT: Isu keselamatan di sekolah perlu ditangani secara menyeluruh dengan penglibatan semua pihak bagi memastikan tahap dan kualiti keselamatan pelajar terus dipertingkatkan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu perlu dibincangkan di pelbagai peringkat, termasuk meneliti proses keselamatan di sekolah dan peranan keluarga di rumah.
“Kita kena lihat bagaimana proses keselamatan di sekolah diikuti dan di rumah serta diikuti dengan hukuman.
“Dan apa yang perlu dibuat dengan segera sekarang adalah bagaimana usaha untuk memastikan taraf serta kualiti keselamatan di sekolah dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Nutrisi Selangor (NutriSel) di SMK Telok Panglima Garang di sini, hari ini.
Amirudin berkata demikian ketika mengulas gesaan di media sosial supaya hukuman terhadap pesalah bawah umur dikaji semula susulan kes jenayah membabitkan pelajar baru-baru ini.
Menurutnya, aspek keselamatan pelajar bukan hanya melibatkan persekitaran sekolah, malah ibu bapa turut memainkan peranan penting terutama dalam memantau penggunaan media sosial anak-anak.
“Bagaimana pula ibu bapa dapat memantau anak-anak mereka daripada penggunaan sosial media sebagainya yang sebahagian besar daripada kes sebelum ini ada kesan daripada pelencongan mereka akibat penggunaan sosial media yang tidak terkawal ataupun terpengaruh dengan aktiviti seperti gaming dan sebagainya.
“Kerajaan juga sebelum ini pernah cuba untuk mengehadkan kepada umur tertentu,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak mencari penyelesaian secara matang dan tidak menjadikan insiden membabitkan pelajar sebagai bahan politik.
“Jadi benda ini kena hati-hati sebab ini masa depan anak-anak. Semua kena ambil kesempatan untuk fikir secara matang, tidak mudah menjadikannya isu politik murahan,” katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan pelajar yang berdepan masalah tampil mendapatkan bantuan dan tidak memendamnya bersendirian.










