SUBANG JAYA, 3 OKT: Golongan muda kini semakin kreatif mengurus kewangan dengan memanfaatkan trend barangan terpakai untuk menjimatkan perbelanjaan, menjana pendapatan tambahan dan mengoptimumkan barangan yang masih mempunyai nilai.
Selain mendapatkan pakaian pada harga lebih rendah, sebahagian mereka turut menjadikan jualan barangan terpakai sebagai sumber pendapatan sampingan yang boleh digunakan untuk simpanan, komitmen bulanan mahupun memenuhi keperluan peribadi.
Jurutera operasi, Muhd Hanif Saiful Nizam, 27, berkata aktiviti menjual barangan terpakai yang dilakukannya sejak kira-kira tiga bulan lalu bermula sebagai hobi hujung minggu.

“Memandangkan saya tidak mempunyai apa-apa rancangan pada hujung minggu, saya mengambil keputusan untuk menjual beberapa barangan bagi membantu menampung sebahagian komitmen kewangan saya,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di SS15 Carboot Sale baru-baru ini.
Bagi pelajar, Nur Afzah Bibi Jasman, 23, pula, jualan barangan terpakai memberinya peluang memperoleh pendapatan tambahan sambil memanfaatkan pakaian yang tidak lagi digunakan.

“Biasanya saya menggunakan wang yang diperoleh untuk melancong kerana saya suka bercuti. Saya juga menggunakan hasil jualan beberapa pakaian lama untuk membeli pakaian baharu,” katanya.
Menurut Afzah, perkembangan platform seperti Telegram dan TikTok turut memudahkan golongan muda menjual barangan terpakai, sekali gus membuka ruang untuk mereka menjadikan barangan yang tidak lagi digunakan sebagai sumber pendapatan.
“Saya rasa kebanyakan golongan muda hari ini lebih sedar tentang pelbagai cara untuk mengurus kewangan,” katanya sambil menyifatkan golongan muda kini semakin mempunyai pemikiran ke arah perniagaan.
Syarah Karmila, 26, pula berkata penglibatannya dalam jualan barangan terpakai bermula dengan usaha mengosongkan pakaian yang tidak lagi diperlukan oleh dirinya dan rakan-rakan.

Hasil jualan kemudian dibahagikan mengikut keutamaan termasuk simpanan, komitmen bulanan dan sumbangan.
Memaksimumkan bajet
Dalam masa sama, trend barangan terpakai turut memberi pilihan kepada golongan muda untuk mendapatkan pakaian yang sesuai dengan cita rasa masing-masing pada harga lebih berpatutan.
Pelajar, Harith Hazeeq Mohd Sabri, 22, berkata pembelian pakaian terpakai membolehkannya memaksimumkan bajet, selain membuat simpanan.
Katanya, pakaian yang dijual pada harga RM100 di kedai boleh diperoleh pada harga antara lima hingga 10 kali lebih rendah di kedai barangan terpakai dan jualan carboot.

“Membeli pakaian terpakai boleh mengelakkan kita daripada berbelanja secara berlebihan. Kita mungkin membeli lebih banyak, tetapi harganya masih jauh lebih murah,” katanya sambil menekankan kepentingan golongan muda membezakan keperluan dan kehendak.
“Bagi saya, kita perlu mempunyai tahap celik kewangan tertentu ketika berbelanja kerana kita perlu tahu apa yang kita mahukan dan apa yang sebenarnya kita perlukan,” katanya.
Sementara itu, Lesa Siaro Purba, 20, berkata pengalaman membeli barangan terpakai membantunya menjadi lebih peka terhadap perbelanjaan dan pada masa sama memberi lebih banyak pilihan mengikut kemampuan.

“Membeli barangan terpakai memberi saya lebih banyak pilihan dan fleksibiliti mengikut bajet. Daripada membeli pakaian baharu setiap beberapa bulan, saya boleh mendapatkan pakaian yang menarik untuk sesuatu acara pada harga jauh lebih murah,” katanya.
Bagaimanapun, Lesa mengakui harga rendah juga boleh menyebabkan seseorang terdorong untuk berbelanja lebih banyak, namun pengalaman itu mengajarnya supaya lebih berhati-hati ketika membuat pembelian.
Bagi Muhammad Noor Firdaus, 23, barangan terpakai menawarkan alternatif lebih mampu milik kepada pelajar kerana terdapat produk yang mempunyai kualiti setanding dengan barangan di kedai biasa.

“Kadang-kadang kita sanggup mengeluarkan wang dan malah tidak makan semata-mata untuk membeli-belah di kedai biasa. Jadi, mengapa tidak gunakan wang itu untuk membeli pakaian terpakai?” katanya.
Menurut Firdaus, pembelian barangan terpakai turut boleh membuka peluang kepada golongan muda menjana pendapatan tambahan menerusi jualan semula pada harga lebih tinggi.







