F1 kembali ke Sepang, persimpangan Kota Warisan dibuka semula

2 Okt 2026, 7:00 AM
F1 kembali ke Sepang, persimpangan Kota Warisan dibuka semula
F1 kembali ke Sepang, persimpangan Kota Warisan dibuka semula

SHAH ALAM, 2 OKT: Persimpangan lampu isyarat di Jalan Kota Warisan dan Jalan Labohan Dagang dibuka semula sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix bagi memudahkan perjalanan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pembukaan semula persimpangan itu membolehkan pengguna jalan raya membelok terus ke kanan tanpa perlu memandu kira-kira satu kilometer untuk membuat pusingan U seperti sebelum ini.

Ahli majlis Majlis Perbandaran Sepang berkata usaha meneliti dan menambah baik pengurusan lalu lintas di kawasan litar dibuat selepas menerima pemakluman acara berprestij itu.

Menurut Victor Chong Voon Fei, persediaan tersebut penting berikutan peningkatan jumlah pengunjung dijangka berlaku sepanjang acara itu berlangsung mulai 2 hingga 4 Oktober.

"Jalan di sekitar SIC diturap semula, termasuk permukaan jalan di laluan B48 yang juga dinaik taraf, serta lampu jalan ditambah, menjadikan keseluruhan jalan itu kelihatan baharu," katanya kepada Media Selangor.

Jelasnya, tempahan hotel di sekitar Kota Warisan juga hampir penuh, dengan jangkaan ramai penonton bergerak dari kawasan tersebut menuju ke lokasi perlumbaan.

Katanya, Jabatan Kerja Raya turut mengoperasikan semula persimpangan lampu isyarat berkenaan secepat mungkin bagi memudahkan pengguna jalan raya selaras penganjuran perlumbaan itu.

"Sama ada ia dibuka sementara atau bagaimana, sekurang-kurangnya semua orang tidak perlu lagi memandu jauh ke tempat U-turn untuk memutar arah," kata Victor.

Dengan pengoperasian semula persimpangan itu, pengguna kini boleh membelok terus ke kanan, sekali gus memendekkan perjalanan dan melancarkan pergerakan trafik di kawasan berkenaan.

Persimpangan tersebut menghubungkan tiga arah utama, iaitu Kota Warisan, Nilai dan Litar Antarabangsa Sepang, dengan tempoh lampu hijau bagi setiap arah kira-kira 60 saat.

SIC mula mencipta sejarah apabila menganjurkan Grand Prix Malaysia buat kali pertama pada 1999, sekali gus menjadi antara litar moden terawal yang direka arkitek terkenal, Hermann Tilke.

Sejak itu, Malaysia menjadi tuan rumah F1 selama 19 edisi berturut-turut sehingga perlumbaan terakhir pada 2017.

Sepang dikenali sebagai antara litar paling mencabar dalam kalendar F1 dengan laluan sepanjang 5.543 kilometer yang menggabungkan selekoh berkelajuan tinggi, zon membrek yang mencabar serta cuaca tropika yang sering berubah secara drastik.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.