Dakwaan KKDW belanja melebihi peruntukan, SPRM sedia siasat jika terima aduan

1 Okt 2026, 4:33 AM
Dakwaan KKDW belanja melebihi peruntukan, SPRM sedia siasat jika terima aduan

PUTRAJAYA, 1 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan perbelanjaan berlebihan sebanyak RM2.1 bilion oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata pihaknya hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan media dan belum menerima aduan rasmi berkaitan dakwaan berkenaan setakat ini.

“Kita baca melalui media massa sahaja. Belum ada lagi secara rasmi. Jadi saya tidak fikir wajar untuk saya komen.

“Apabila perkara itu diadukan secara rasmi kepada pihak kami, sudah tentu pihak kami akan masuk (menyiasat),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-59 SPRM dan Perhimpunan Bulanan SPRM Bil. 4/2026 di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Penasihat DAP Lim Guan Eng menggesa SPRM mengambil tindakan terhadap kementerian itu berhubung dakwaan perbelanjaan berlebihan sebanyak RM2.1 bilion.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkan berkata kementerian itu tidak akan membelanjakan peruntukan melebihi jumlah yang diluluskan kerajaan, malah perbelanjaan kementerian adalah berdasarkan peruntukan yang dinyatakan dalam belanjawan atau jumlah yang telah diluluskan kerajaan.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.