SAY perkasa belia selepas pemulihan kembali dalam masyarakat

30 Sep 2026, 1:38 PM
SAY perkasa belia selepas pemulihan kembali dalam masyarakat
SAY perkasa belia selepas pemulihan kembali dalam masyarakat
SAY perkasa belia selepas pemulihan kembali dalam masyarakat

PETALING JAYA, 30 SEPT: Pemulihan daripada ketagihan dadah bukan penamat proses rehabilitasi, sebaliknya permulaan perjalanan golongan muda untuk membina semula kehidupan, kata Pengurus Program Kemudahan Jagaan Susulan Selangor Youth Community (SAY) TEAM Ainin Azman.

Beliau berkata golongan muda yang selesai menjalani pemulihan masih berdepan pelbagai cabaran apabila kembali menjalani kehidupan seharian termasuk membina semula hubungan, memulihkan keyakinan diri, mendapatkan pekerjaan dan belajar hidup berdikari.

“Rehabilitasi sebenarnya adalah perjalanan sepanjang hayat. Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) percaya bahawa pemulihan adalah proses sepanjang hayat,” katanya ketika berucap pada SAY TEAM Award Day 2026 hari ini.

Program berkenaan diadakan bagi meraikan peserta TEAM Programme, iaitu inisiatif pembangunan peribadi dan profesional intensif selama sembilan minggu untuk memperkasa belia Malaysia berisiko serta membantu mereka kembali ke dalam masyarakat.

TEAM Programme dilaksanakan menerusi kerjasama SAY dengan The King’s Trust International (KTI).

Pengurus Program SAY, Ainin Azman berucap sempena SAY TEAM Award Day 2026 di Sunway Resort Hotel & Spa, Subang Jaya pada 30 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Ainin berkata proses kembali ke dalam masyarakat boleh menjadi sangat mencabar kerana golongan muda mungkin sudah berubah sepanjang tempoh rehabilitasi, sedangkan persekitaran di sekeliling mereka mungkin masih sama.

“TEAM Programme adalah tempat kita mahu transformasi itu bermula. Namun, ia tidak boleh dilihat sebagai keseluruhan perjalanan kerana kita hanya meluangkan sembilan minggu bersama mereka,” katanya.

Menurutnya, program itu membantu peserta membina semula kepercayaan terhadap diri sendiri dan orang lain, memupuk tanggungjawab sosial serta mencari tempat untuk mereka melalui pendidikan, pekerjaan dan sokongan komuniti.

Bagi merapatkan jurang antara proses rehabilitasi dan kembali ke masyarakat, SAY melancarkan Kemudahan Jagaan Susulan pertamanya di Rumah Sabat, Pulau Langkawi pada 29 Ogos lalu yang akan menyokong 28 golongan muda selepas menjalani rawatan pemulihan, termasuk jaminan pekerjaan dan sokongan selama enam bulan lagi.

“Ia bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, tetapi membuatkan mereka berasa selamat untuk menjadi lebih baik.

"Ia tentang mengajar kemahiran, memberi pekerjaan dan paling penting, seseorang yang sanggup berkata, ‘Saya benar-benar percaya kepada anda’. Pemulihan adalah permulaan. Peluang itulah yang menjadikannya mampan,” katanya sambil memaklumkan SAY merancang memperluas TEAM Programme tahun depan menerusi 14 sesi untuk menjangkau lebih ramai individu dalam pemulihan di institusi.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.