SHAH ALAM, 30 SEPT: Sebanyak 20 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 5 petang ini dengan Johan Setia mencatat bacaan tertinggi, 166.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan Shah Alam dan Pasir Gudang, Johor masing-masing merekodkan bacaan kedua tertinggi iaitu 164.
Cheras, Kuala Lumpur dan Larkin, Johor pula masing-masing mencatat IPU 162, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (161) serta Batu Muda, Kuala Lumpur (160).
Di Selangor, selain Johan Setia dan Shah Alam, bacaan tidak sihat turut direkodkan di Klang dengan IPU 158, Petaling Jaya (155) dan Banting (143).
Johor turut merekodkan bacaan tidak sihat di Kota Tinggi (155) dan Pengerang (152), selain Pasir Gudang dan Larkin.
Di Negeri Sembilan, Seremban mencatat IPU 153 selain Nilai, manakala Indera Mahkota Kuantan dan Balok Baru Kuantan di Pahang masing-masing merekodkan bacaan 156.
Putrajaya pula mencatat IPU 157, sementara Kuala Terengganu, Terengganu merekodkan bacaan 154.
Bandaraya Melaka turut berada pada paras tidak sihat dengan bacaan IPU 125, diikuti Kluang, Johor (110) dan Kota Bharu, Kelantan (103).
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh memberi kesan khususnya kepada golongan sensitif termasuk kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dan jantung.
Orang ramai disaran mengurangkan aktiviti di luar bangunan, memakai pelitup muka jika perlu berada di kawasan terbuka serta mengikuti perkembangan kualiti udara menerusi laman sesawang JAS.







