Kerap letih, berdebar antara tanda awal penyakit jantung

29 Sep 2026, 11:28 AM
Kerap letih, berdebar antara tanda awal penyakit jantung

Kerap letih, berdebar antara tanda awal penyakit jantung yang sering diabaikan

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Gejala penyakit jantung yang muncul secara halus seperti kerap berasa letih dan berdebar-debar berpanjangan adalah antara tanda awal yang sering diabaikan, menyebabkan pesakit tidak mendapatkan pemeriksaan serta rawatan segera.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya berkata kebanyakan individu cenderung menganggap gejala ringan sedemikian tidak memerlukan rawatan lanjut, terutamanya apabila rasa tidak selesa itu reda selepas beberapa jam.

“Biasanya, pesakit kita ini kalau ada rasa sakit yang dianggap ringan, mereka akan berehat di rumah kerana menyangka gejala itu akan hilang selepas dua atau tiga jam, jadi dia tak datang berjumpa doktor.

“Namun, ini mungkin satu simptom yang berkait dengan penyakit jantung yang memerlukan seseorang itu mendapatkan rawatan daripada doktor,” katanya pada Program Malaysia Petang Ini (MPI) bertajuk Hari Jantung Sedunia 2026: “Don’t Miss A Beat” di Bernama TV, hari ini.

Dr Shaiful Azmi berkata ramai beranggapan hanya kesakitan dada yang teruk atau sesak nafas memerlukan rawatan kecemasan di hospital, sedangkan tanda-tanda awal yang ringan juga tidak wajar dipandang remeh.

Beliau berkata selain sakit dada dan sukar bernafas, orang ramai dinasihatkan segera ke klinik atau hospital sekiranya kerap mengalami rasa berdebar tanpa sebab, berpeluh dingin atau pitam.

“Pitam berlaku disebabkan degupan jantung yang tidak normal (abnormal) dan keadaan ini juga memerlukan rawatan segera.

“Sekurang-kurangnya pesakit perlu bertemu dengan doktor untuk memeriksa tekanan darah dan nadi serta menjalani ujian elektrokardiogram (ECG) bagi membolehkan doktor mengesahkan atau menolak kemungkinan berlaku serangan jantung,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Shaiful Azmi menegaskan bahawa risiko serangan jantung berkait rapat dengan amalan gaya hidup harian termasuk pola pemakanan, kualiti tidur dan kekerapan aktiviti fizikal.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan masyarakat agar mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan seimbang, tidur mencukupi serta bersenam secara berkala, selain tidak bertangguh mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengesyaki sebarang perubahan pada tubuh.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.