Kerjasama Myanmar bantu kelancaran penghantaran pulang tahanan

29 Sep 2026, 10:00 AM
Kerjasama Myanmar bantu kelancaran penghantaran pulang tahanan
Kerjasama Myanmar bantu kelancaran penghantaran pulang tahanan

LUMUT, 29 SEPT: Kerjasama Kerajaan Myanmar, khususnya dalam proses mengenal pasti dan mengesahkan warganegara mereka menjadi antara faktor membantu kelancaran pelaksanaan fasa pertama program penghantaran pulang tahanan Myanmar dari Malaysia hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Makhzan Mahyuddin berkata proses pengesahan itu penting bagi memastikan individu terbabit dapat dihantar pulang melalui mekanisme yang dipersetujui kedua-dua negara.

“Kami nampak kerjasama sepenuhnya daripada pihak Kedutaan Myanmar sebab proses yang paling utama ialah mengenal pasti dan mengesahkan individu itu oleh Kerajaan Myanmar… itu amat baik dan agak cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di atas kapal KD Sri Indera Sakti pada Program Penghantaran Pulang Tahanan Warga Myanmar Fasa Pertama di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini hari ini.

Terdahulu, sebanyak 1,476 warga Myanmar terbabit dalam program penghantaran pulang fasa pertama dengan menggunakan tiga kapal termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar yang dilaksanakan di Pangkalan TLDM Lumut dengan proses pergerakan terakhir pada 12.43 tengah hari tadi.

Selain itu, Makhzan berkata kerjasama itu adalah sebahagian daripada rundingan antara kedua-dua kerajaan yang turut membabitkan penyelarasan di peringkat Kementerian Luar Negeri.

Beliau berkata Kerajaan Myanmar turut memberikan kerjasama dalam penyelarasan tarikh pelaksanaan selepas cadangan awal bagi program berkenaan dilaksanakan pada Ogos lepas, namun perlu disesuaikan dengan keperluan logistik kedua-dua pihak.

Menurut Makhzan, kerjasama itu turut melibatkan Tentera Laut Myanmar bagi memastikan mekanisme penghantaran dapat dilaksanakan.

“Komitmen Malaysia-Myanmar terhadap penghantaran pulang 5,000 warga Myanmar secara berperingkat kekal dipenuhi manakala tempoh pelaksanaan fasa berikutnya bergantung kepada kelancaran proses dokumentasi dan mengenal pasti individu.

“Dalam penghantaran pulang ini, ada tiga perkara utama yang kami perlu jelaskan, iaitu pertama mengenal pasti individu yang dipersetujui layak dan keduanya adalah proses dokumentasi bersama Kerajaan Myanmar… itu yang paling penting sekarang ini sebelum mengeluarkan dokumen untuk mereka berlepas pulang,” katanya.

Makhzan berkata proses dokumentasi menjadi antara perkara utama yang perlu diselesaikan sebelum penghantaran berikutnya dapat dilaksanakan, terutama bagi individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata selepas dokumen dikeluarkan, KDN akan memaklumkan Wisma Putra untuk meneruskan rundingan dengan Kerajaan Myanmar berhubung penghantaran seterusnya.

“Sekiranya proses ini dapat dilaksanakan dengan segera, kami akan dapat melaksanakan penghantaran pulang itu dengan segera tetapi kalau proses ini mengambil sedikit masa, penghantaran pulang (fasa kedua) akan tertangguh sedikit,” katanya.

Makhzan berkata sehingga 15 Ogos lepas, terdapat 10,388 warga Myanmar di depot tahanan imigresen, namun jumlah itu tidak bermakna kesemuanya adalah pelarian kerana status setiap individu masih perlu dikenal pasti.

Beliau berkata Jabatan Imigresen dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia sedang melaksanakan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan setiap individu.

“Bagi 2026, sebanyak 4,008 individu, terutamanya etnik Rohingya akan disalurkan kepada Program DPP manakala 5,000 individu yang lain akan melalui proses penghantaran pulang secara sukarela dan berperingkat seperti yang dipersetujui dengan Kerajaan Myanmar,” katanya.

Makhzan berkata kerajaan mengambil maklum kebimbangan masyarakat berkaitan pengurusan warga asing, termasuk aspek keselamatan, ketenteraman awam dan tahanan imigresen dengan setiap tindakan dilaksanakan mengikut undang-undang dan prosedur ditetapkan.

Pada 29 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Myanmar bersetuju untuk menerima semula kira-kira 5,000 tahanan warga Myanmar yang kini berada di Malaysia hasil rundingan dan hubungan baik antara Malaysia dan Myanmar.

Anwar turut dilaporkan berkata rundingan dengan kepimpinan Myanmar telah diadakan di Bangkok dan Beijing dengan Malaysia mahu penghantaran pulang dilaksanakan secara berperingkat serta mengambil kira aspek keselamatan dan kemudahan perubatan bagi mereka yang memerlukan.

Beliau juga akan mengundang Presiden Myanmar Min Aung Hlaing ke Malaysia bagi meneruskan rundingan berhubung isu pelarian, termasuk usaha mencari penyelesaian yang lebih menyeluruh terhadap perkara berkenaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.