Waris 55 rakyat Malaysia hilang di Nepal mohon moratorium khas

29 Sep 2026, 7:58 AM
Waris 55 rakyat Malaysia hilang di Nepal mohon moratorium khas

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Waris kepada 55 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir di Nepal memohon kerajaan mewujudkan satu mekanisme khas penangguhan komitmen kewangan seperti moratorium bagi meringankan beban kewangan mereka.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) Dr Manivannan Rethinam berkata permohonan itu termasuk membabitkan ansuran pinjaman perumahan dan kenderaan, selain insurans serta komitmen kewangan lain yang masih berjalan sementara menunggu status perundangan mangsa ditentukan.

“Sebelum dan semasa pertemuan kami dengan Wisma Putra pada Ahad lepas, kami telah memohon supaya satu pertemuan segera diadakan dengan wakil Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia bagi membincangkan isu perundangan serta kewangan yang dihadapi oleh keluarga.

“Sehingga hari ini, kami masih belum menerima sebarang perkembangan mengenai permohonan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Manivannan berkata MASFIH menyuarakan perkara berkenaan berikutan situasi yang sedang dilalui oleh keluarga mangsa yang memerlukan bantuan sewajarnya.

Pada masa sama, Manivannan merakamkan penghargaan atas usaha kerajaan dan agensi berkaitan dalam operasi mencari dan menyelamat serta penyelarasan dengan pihak berkuasa Nepal serta China.

Pada Ahad lepas, media melaporkan kerajaan Nepal sedang mempertimbangkan langkah perundangan bagi menangani kes individu yang statusnya masih belum dapat ditentukan, termasuk warga asing, susulan bencana banjir dan tanah runtuh di negara itu.

Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan perkara itu masih tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan belum berkuat kuasa setakat hari ini.

Banjir dan aliran puing pada 26 Ogos lepas yang dicetuskan oleh runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet dilaporkan mengorbankan lebih 1,450 orang manakala ribuan lagi masih belum dapat dikesan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.