SHAH ALAM, 29 SEPT: Keadaan jerebu bertambah buruk di Selangor apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kesemua enam lokasi meningkat setakat jam 1 petang berbanding bacaan pada sebelah pagi.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 171 berbanding 161 pada sebelah pagi.
Shah Alam pula merekodkan bacaan 167 berbanding 156 pada sebelah pagi, manakala Klang meningkat daripada 153 kepada 162 dan Banting daripada 150 kepada 159.
Petaling Jaya turut mencatat peningkatan ketara daripada 116 pada sebelah pagi kepada 156, manakala Kuala Selangor meningkat daripada 109 kepada 156.
Secara keseluruhan, sebanyak 32 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU tidak sihat setakat jam 1 petang berbanding 27 kawasan pada sebelah pagi.
Di seluruh negara, Serian, Sarawak merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 174, diikuti Larkin, Johor (172), Pasir Gudang, Johor (172), Bandaraya Melaka (172) dan Nilai, Negeri Sembilan (172).
Beberapa kawasan lain di Lembah Klang turut terjejas akibat jerebu dengan Cheras, Kuala Lumpur merekodkan bacaan IPU 167, diikuti Putrajaya (163) dan Batu Muda (154).
Sebanyak 30 kawasan pula merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala enam kawasan mencatatkan kualiti udara yang baik.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.







