SHAH ALAM, 28 SEPT: Seramai 100 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Ampang menerima sarapan berkhasiat menerusi Program Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Kasih pada 22 September lalu.
Program tersebut merupakan sebuah inisiatif MPAJ menerusi kerjasama bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPAJ, dalam usaha menyediakan sarapan pagi berkhasiat kepada pelajar yang memerlukan.
MPAJ berkata program tersebut bertujuan menyokong kesejahteraan serta proses pembelajaran murid melalui penyediaan makanan yang berkhasiat, di samping memastikan aspek makanan diberi perhatian dalam perkembangan dan pendidikan kanak-kanak.
Program tersebut disertai oleh Ketua Whip merangkap Ahli Majlis MPAJ JKP Zon 8, Dato' Yap Wee Sing, bersama pegawai MPAJ.
MPAJ memaklumkan akan terus komited dalam melaksanakan inisiatif kemasyarakatan yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti, dalam aspek kebajikan, pendidikan dan kesejahteraan generasi muda.









