55 rakyat Malaysia hilang di Nepal, waris reda usaha pencarian

27 Sep 2026, 11:12 AM
55 rakyat Malaysia hilang di Nepal, waris reda usaha pencarian
55 rakyat Malaysia hilang di Nepal, waris reda usaha pencarian

SHAH ALAM, 27 SEPT: Waris rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir lumpur di Nepal bulan lalu, reda dengan usaha pencarian yang dilaksanakan pihak berkuasa Nepal serta pasukan penyelamat antarabangsa.

​Isteri kepada Dr Padzil Daros, Adura Masood, berkata, beliau menghargai usaha kerajaan Nepal dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) suaminya, lapor Berita Harian.

Dr Padzil Daros ialah antara sembilan rakyat Malaysia yang mengikuti pendakian diketuai oleh wakil operator pendakian warga Nepal, Ganesh Neupane.

​"Memang tidak boleh dapat apa yang kita inginkan, tetapi saya berpuas hati dengan segala usaha dan tindakan pantas yang dilakukan oleh semua pihak terbabit.

"Maklumat diberikan lebih kepada perkongsian operasi dan situasi bencana," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

​Perkara yang sama turut disuarakan oleh S Sankara, anak kepada seorang lagi rakyat Malaysia yang turut hilang dalam tragedi itu, K Kalaimathi.

Beliau menerima dengan terbuka penerangan dan perincian menyeluruh yang disampaikan oleh pihak berkuasa berhubung situasi semasa di lokasi kejadian.

Taklimat membabitkan waris seramai 105 orang berakhir pada jam 3 petang.

Sankara berkata, keluarga mangsa sudah dimaklumkan dalam masa terdekat Operasi Ketenteraan dan SAR secara rasmi akan dihentikan oleh pihak kerajaan bagi memberi laluan kepada fasa Operasi Pemulihan (Recovery Operation).

Pihak berkuasa kini sedang menguruskan proses pengeluaran Sijil Kematian (Death Certificate) bagi mangsa yang terbabit.

​Dalam pada itu, usaha pengecaman mangsa menerusi ujian DNA dilaporkan masih giat dijalankan di Putrajaya membabitkan sampel yang diterima daripada waris mangsa.

​Bencana runtuhan glasier di Nepal 26 Ogos lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 1,453 nyawa, manakala seramai 5,644 orang dilaporkan masih hilang secara keseluruhan di Nepal.

Daripada jumlah yang hilang itu, seramai 55 rakyat Malaysia masih gagal dikesan sehingga kini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.