Pengeksport wanita perlu fahami pasaran, tampilkan keunikan produk

26 Sep 2026, 2:15 AM
Pengeksport wanita perlu fahami pasaran, tampilkan keunikan produk
Pengeksport wanita perlu fahami pasaran, tampilkan keunikan produk

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Pengeksport wanita perlu memahami pasaran negara sasaran selain mencipta kelainan pada produk bagi memastikan perniagaan mampu bersaing di peringkat global.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Serunai Commerce Sdn Bhd, Amnah Saari berkata usahawan tidak seharusnya terlalu membandingkan produk dengan pesaing, sebaliknya perlu mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri untuk diketengahkan dalam pasaran.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Serunai Commerce Sdn Bhd, Amnah Shaari. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Jangan terlalu membandingkan produk kita dengan pesaing. Kita perlu ada kelainan dan keunikan sendiri supaya ada sesuatu yang membezakan produk kita dalam pasaran,” katanya ketika Forum Women in Export (WiEX) bertajuk Maju Mendepani Ketidaktentuan: Menyesuaikan Diri, Bersaing dan Terus Berkembang bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NIMS Adeliciousz Sdn Bhd, Tengku Norhanim Tengku Othman, usahawan juga perlu memahami produk sendiri serta memastikan kualitinya berada pada tahap terbaik sebelum menembusi pasaran antarabangsa.

Pengarah Urusan NIMS Adeliciousz Sdn Bhd, Tengku Norhanim Tengku Othman. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Apabila kita mahu mengeksport, kita kena faham produk sendiri dan pastikan kualitinya cukup baik. Kita juga perlu memahami pasaran yang mahu dimasuki kerana setiap negara mempunyai keperluan berbeza,” katanya.

Bagi Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Applecrumby, Jesmine Tan pula, penyelidikan terhadap negara sasaran perlu dilakukan terlebih dahulu kerana setiap pasaran mempunyai peraturan, keperluan dan kecenderungan pengguna yang berbeza.

Pengasas Duchess Merchaniles Sdn Bhd (Applecrumby), Jesmine Tan. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Setiap negara mempunyai pasaran berbeza, jadi kita kena cuba dan lihat apa yang sesuai. Kita perlu buat penyelidikan, faham apa yang pengguna mahukan dan pastikan produk memenuhi keperluan negara tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Batik Boutique, Amy Blair menekankan kepentingan memilih rakan niaga yang tepat bagi membantu pemasaran serta membina kerjasama apabila sesebuah perniagaan mahu berkembang ke luar negara.

Pengasas The Batik Boutique, Amy Blair. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Kita perlu memilih rakan niaga yang tepat kerana mereka boleh membantu dari segi pemasaran dan kolaborasi, terutama apabila kita mahu memasuki pasaran yang baharu,” katanya.

Barisan panel turut menggalakkan usahawan memanfaatkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bukan sahaja untuk mendapatkan peluang eksport, malah memperoleh sumber dan maklumat berkaitan pasaran negara yang mahu diterokai.

Mereka juga menekankan kepentingan mengikuti perkembangan terkini, memperbanyak penyelidikan serta mendapatkan bimbingan mentor atau individu berpengalaman kerana usaha menembusi pasaran antarabangsa memerlukan pembelajaran berterusan.

Dalam sesi soal jawab bersama peserta, panel senada bahawa cabaran dan ketidaktentuan tidak seharusnya menghalang pengeksport wanita daripada berkembang, sebaliknya perlu dihadapi dengan persediaan, pengetahuan mengenai pasaran dan kesediaan menyesuaikan strategi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.