SHAH ALAM, 25 SEPT: Harimau Malaya membuka kempen Piala ASEAN FIFA 2026 dengan kemenangan selepas menewaskan Bangladesh 3-0 pada perlawanan pertama Divisyen 1 Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.
Arif Aiman Hanapi muncul wira apabila meledak dua gol pada minit ke-18 dan ke-37, manakala Bergson da Silva melengkapkan kemenangan Malaysia menerusi jaringan pada minit ke-52, lapor Berita Harian.
Malaysia yang memburu kemenangan terlebih dahulu menguji benteng Bangladesh menerusi Faisal Halim pada minit keempat, namun percubaannya dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol, Mehedi Hasan Srabon.
Usaha Harimau Malaya akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-18 apabila Arif Aiman menyambut hantaran Nooa Laine sebelum melepaskan rembatan untuk membuka tirai jaringan Malaysia.
Bangladesh cuba bangkit meredakan tekanan Malaysia, namun Saad Uddin menerima kad kuning, manakala Bergson hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-25 sebelum percubaannya tersasar.
Pertahanan negara, Bradd Tapp, turut menerima kad kuning pada minit ke-31 selepas melakukan kekasaran sebelum Arif Aiman sekali lagi menghukum Bangladesh lapan minit kemudian menerusi hantaran Stuart Wilkin untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Manuel Hidalgo hampir menambah derita Bangladesh sebelum tamat babak pertama apabila percubaannya dari luar kotak penalti pada minit ke-42 ditepis Mehedi Hasan Srabon.
Memasuki babak kedua, Harimau Malaya terus menguasai permainan dan Bergson akhirnya membuka akaun golnya bersama Malaysia pada minit ke-52 menerusi hantaran Corbin Ong untuk meletakkan skuad negara selesa 3-0.
Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, kemudian melakukan beberapa pertukaran dengan membawa keluar Bergson dan Arif Aiman untuk memasukkan Fergus Tierney serta Paulo Josue bagi menyegarkan jentera serangan.
Nazmi Faiz Mansor, Syahmi Safari dan G Pavithran turut diturunkan pada babak kedua.
Kelebihan tiga gol tidak membuatkan Harimau Malaya mengendurkan permainan apabila terus memburu jaringan keempat, namun Bangladesh hampir merapatkan jurang menerusi Hamza Choudhury pada minit ke-75 sebelum percubaannya dinafikan Haziq Nadzli.
Seminit kemudian, Nazmi Faiz Mansor pula menguji Mehedi Hasan Srabon menerusi percubaan dari luar kotak penalti, namun penjaga gol Bangladesh itu sekali lagi berjaya menyelamatkan gawangnya.
Fergus Tierney turut hampir mencatat nama sebagai penjaring keempat Malaysia pada minit ke-82, namun percubaannya sekadar menggegar palang sebelum Malaysia menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-0.
Kemenangan itu menjadi bekalan penting buat Harimau Malaya sebelum berdepan Indonesia pada Isnin ini.








