Bidaan H1 dilapor cecah RM10.7 juta, keputusan dijangka umum hari ini

21 Sep 2026, 4:24 AM
Bidaan H1 dilapor cecah RM10.7 juta, keputusan dijangka umum hari ini

SHAH ALAM, 21 SEPT: Nombor pendaftaran kenderaan istimewa H1 dilaporkan menarik bidaan sehingga RM10.7 juta selepas tempoh bidaan siri khas H menerusi sistem JPJeBid berakhir semalam.

Angka berkenaan tular menerusi beberapa hantaran di media sosial hari ini selepas bidaan nombor pendaftaran H1 hingga H9999 ditutup.

Bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setakat ini belum mengesahkan secara rasmi sama ada RM10.7 juta merupakan bidaan yang berjaya bagi nombor pendaftaran H1.

Satu hantaran di media sosial memaparkan bidaan RM10.7 juta bagi H1, diikuti bidaan RM666,666 dan RM555,777.

Bidaan siri khas H dibuka menerusi sistem JPJeBid selama lima hari bermula 16 hingga 20 September, manakala keputusan bidaan dijadualkan diumumkan hari ini, lapor Harian Metro.

Siri nombor pendaftaran khas itu dilancarkan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, pada 14 September lalu bersempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Menurut Aedy, siri H istimewa kerana ia merupakan siri awalan pendaftaran satu huruf terakhir yang akan ditawarkan oleh JPJ dan kerajaan.

Huruf H dipilih bagi melambangkan ‘harmoni’ atau keharmonian, selaras dengan mesej perpaduan dan keharmonian sempena sambutan Hari Malaysia.

Siri berkenaan merangkumi nombor pendaftaran H1 hingga H9999.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.