Pembelajaran sepanjang hayat bantu jana pendapatan sampingan

20 Sep 2026, 2:07 AM
Pembelajaran sepanjang hayat bantu jana pendapatan sampingan
Pembelajaran sepanjang hayat bantu jana pendapatan sampingan
Pembelajaran sepanjang hayat bantu jana pendapatan sampingan

HULU LANGAT, 20 SEPT: Pembelajaran sepanjang hayat membantu individu daripada pelbagai peringkat umur memanfaatkan kemahiran praktikal untuk menjana pendapatan tambahan, sama ada menerusi perniagaan dari rumah mahupun secara dalam talian.

Di Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL), peserta menggunakan kemahiran yang diperoleh menerusi kursus ditawarkan institusi berkenaan untuk membangunkan perniagaan sampingan dan meneroka peluang pendapatan baharu di samping pekerjaan sedia ada.

Bagi Rozman Muhamood, 56, mempelajari kemahiran baharu pada usia berkenaan membuka peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan dari rumah.

Rozman yang mengusahakan syarikat kejuruteraan sepenuh masa turut menjalankan perniagaan menjual beg selepas mempelajari kemahiran menjahit menerusi kolej berkenaan.

“Saya lakukan sendiri perniagaan secara dalam talian dan ia dijalankan secara kecil-kecilan. Bagi saya, ia sangat baik sebagai sumber pendapatan kerana membolehkan saya bekerja dari rumah,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui pada Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat 2026 anjuran KKHL, semalam.

Rozman Muhamood, 56, ketika ditemui pada Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat 2026 anjuran Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) di Hulu Langat pada 19 September 2026. — Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Karnival itu merupakan inisiatif Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tingggi (KPT) bagi memperkasa komuniti dengan menggalakkan masyarakat mengembangkan minat serta kemahiran baharu.

Program berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti untuk komuniti setempat termasuk kursus berimpak tinggi, pameran agensi, Hari Kerjaya, peluang kemasukan ke kolej komuniti dan politeknik serta jualan pada harga berpatutan.

Sementara itu, Husna Afiqah, 24, berkata pendidikan berterusan membantu mengembangkan perniagaan bakerinya yang dijalankan sebagai sumber pendapatan sampingan ketika bekerja sepenuh masa di sebuah firma guaman.

Beliau menjual pelbagai produk bakeri termasuk brownies, kek, Congo bar dan biskut lembut.

Husna yang mengikuti kursus jangka pendek di Kolej Komuniti sejak 2020 berkata latihan berkenaan membantunya meningkatkan kemahiran dalam bidang bakeri.

“Saya mempunyai pekerjaan sepenuh masa, tetapi pada masa sama saya menjalankan perniagaan bakeri sebagai pendapatan sampingan,” katanya.

Husna Afiqah, 24, ketika ditemui pada Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat 2026 anjuran Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) di Hulu Langat pada 19 September 2026. — Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, selain membantu menjana pendapatan tambahan, pengalaman amali menerusi kursus berkenaan membolehkannya mempelajari teknik yang mungkin tidak diperoleh melalui platform dalam talian.

“Bagi saya, kursus ini sangat berguna kerana kita mendapat pengalaman secara amali. Banyak tip yang boleh dipelajari dan mungkin tidak ditemui di YouTube atau TikTok.

“Kita juga boleh bertanya secara langsung, jadi lebih mudah untuk memahami kerana kita boleh mendapatkan jawapan yang tepat dengan segera,” katanya.

Pelajar sepenuh masa KKHL, Muhammad Irfan Mohd Sharif, 18, pula berpandangan pembelajaran sepanjang hayat wajar dimanfaatkan semua peringkat umur kerana memberi peluang kepada golongan muda dan lebih berusia mempelajari kemahiran baharu.

“Tidak kira sama ada tua atau muda, sesiapa sahaja boleh belajar menerusi kursus ini,” kata pelajar Sijil Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara itu.

Pembelajaran sepanjang hayat merujuk kepada usaha berterusan memperoleh ilmu dan kemahiran sepanjang kehidupan seseorang sama ada menerusi pendidikan formal, latihan atau pembelajaran kendiri.

Muhammad Irfan Mohd Sharif, 18, ketika ditemui pada Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat 2026 anjuran Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) di KKHL, Hulu Langat, pada 19 September 2026. — Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.