HULU LANGAT, 19 SEPT: Pembelajaran sepanjang hayat (PSH) perlu dijadikan budaya bagi memastikan masyarakat sentiasa memiliki kemahiran relevan seiring perubahan teknologi, bentuk pekerjaan dan keperluan industri.
Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts Abdul Razak Sabtu berkata masyarakat tidak seharusnya cepat berpuas hati dengan taraf pendidikan sedia ada.
“Kita tidak boleh berhenti belajar hanya kerana kita sudah berhenti sekolah, latar belakang pendidikan bukan penghalang untuk memperoleh kemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Variasi Pembelajaran Sepanjang Hayat Kolej Komuniti Hulu Langat 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, perubahan teknologi, bentuk pekerjaan, cara menjalankan perniagaan serta keperluan industri menyebabkan masyarakat perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan kemahiran baharu.

Beliau berkata Kolej Komuniti mempunyai peranan penting menyediakan ruang kepada masyarakat mendapatkan ilmu melalui kursus pendek, bengkel amali dan mikro-kredensial tanpa perlu mengikuti pengajian secara sepenuh masa untuk tempoh panjang.
“Kadang-kadang satu kursus pendek, satu bengkel amali, satu mikro-kredensial ataupun satu kemahiran digital yang dipelajari pada hujung minggu mampu mengubah kehidupan seseorang,” katanya.
Abdul Razak berkata PSH bukan sekadar bertujuan menambah ilmu, sebaliknya kemahiran yang diperoleh mampu membuka peluang pekerjaan, membantu meningkatkan pendapatan atau membolehkan seseorang memulakan perniagaan.
Katanya, Kolej Komuniti juga perlu terus mendekati masyarakat dan memahami keperluan setempat supaya kursus yang ditawarkan benar-benar memberi manfaat serta menjadikan institusi berkenaan sebagai pusat pembelajaran untuk semua golongan.
Karnival berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti untuk masyarakat setempat termasuk kursus berimpak tinggi, pameran agensi, Hari Kerjaya, peluang kemasukan ke Kolej Komuniti dan politeknik serta jualan Rahmah dan keusahawanan, selain sesi temu dan sapa bersama penyanyi Wany Hasrita.







