Kerajaan sedia bantu sekolah pondok teroka teknologi AI

19 Sep 2026, 5:47 AM
Kerajaan sedia bantu sekolah pondok teroka teknologi AI
Kerajaan sedia bantu sekolah pondok teroka teknologi AI
Kerajaan sedia bantu sekolah pondok teroka teknologi AI

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Kerajaan bersedia membantu sekolah pondok di seluruh negara meneroka teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk mempertimbangkan peruntukan tambahan kepada institusi berkenaan dalam Belanjawan 2027.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting bagi memastikan pelajar institusi pondok tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi, di samping terus menjadi benteng dalam mempertahankan akidah dan sahsiah umat Islam.

“Pondok juga mesti terima beberapa kokurikulum baharu, umpamanya teknologi AI. AI ini senjata penting dalam dakwah dan kebangkitan Islam. AI tanpa etika akan jadi musuh utama kita.

“Maka saya mencadangkan, sementara tanggungjawab saya dalam kerajaan, saya akan beri apa saja kemudahan. Inilah kali pertama kerajaan bantu. Kalau kita putus hari ini, saya boleh tambah sikit lagi (peruntukan) pada belanjawan negara akan datang,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika majlis Perasmian Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 19 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan serta timbalannya, Marhamah Rosli.

Anwar berkata perkembangan teknologi AI tidak dapat dielakkan dan kini semakin menjadi keperluan asas manusia, sebagaimana perkembangan telekomunikasi pada era sebelumnya.

Justeru, katanya, pelajar sekolah agama perlu dilatih menguasai teknologi itu bagi mendepani cabaran semasa, sekali gus membantu meningkatkan martabat dan kedudukan institusi pondok setanding institusi pendidikan terkemuka lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 19 September 2026. — Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“AI itu bahaya besar bagi umat. Tapi kita tidak mampu tolak kerana ia seperti telefon. Jadi kita mesti latih anak-anak. Untuk permulaan, pilih beberapa pondok yang boleh mulakan tradisi ilmu baharu,” katanya.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa mendengar Forum Muzakarah Ulama Turath yang menampilkan bekas Mufti Agung Mesir, Syeikh Prof Dr Ali Jum’ah dan ulama Maghribi, Syeikh Prof Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri.

Beliau turut melancarkan terjemahan lengkap kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali dalam bahasa Melayu yang diterbitkan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sempena Festival Turath Islami Malaysia 2026.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.