SHAH ALAM, 17 SEPT: Limpahan air kumbahan akibat saluran tersumbat dikenal pasti antara punca keadaan air Tasik Wawasan, Taman Wawasan, Subang Jaya, yang bertukar hitam, berbau kurang menyenangkan dan menyebabkan penemuan ikan mati.
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata pemeriksaan bersama Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mendapati saluran kumbahan di kawasan Pangsapuri Wawasan tersumbat, menyebabkan air kumbahan melimpah dari lurang (manhole) sebelum mengalir ke sistem perparitan berhampiran.
“Pemeriksaan turut mengenal pasti kerosakan pada struktur paip di dalam longkang kawasan strata yang berkemungkinan menyumbang kepada keadaan tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Susulan penemuan itu, IWK telah membersihkan lurang berkenaan dan tiada lagi aliran air kumbahan keluar ke sistem perparitan ketika ini.
IWK turut akan menjalankan pemeriksaan lanjut di sekitar lurang bagi mengenal pasti sama ada terdapat faktor lain yang menyumbang kepada kejadian itu.
Dalam perkembangan sama, MBSJ memperluas pemeriksaan ke kawasan Flat RPKR 500, Taman Wawasan dan mengenal pasti beberapa lokasi membabitkan longkang serta sistem paip kumbahan yang diubah suai dan berkemungkinan menyumbang kepada pencemaran Tasik Wawasan.
“MBSJ telah mengarahkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Flat RPKR 500, Taman Wawasan untuk melaksanakan kerja pembaikan dengan segera di lokasi yang dikenal pasti, khususnya membabitkan longkang dan sistem paip di kawasan strata,” katanya.
MBSJ turut menyelaras tindakan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memastikan pemeriksaan dan pemantauan lanjut dilaksanakan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Menurut MBSJ, langkah pencegahan turut diberi perhatian bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.
“MBSJ akan terus memantau pelaksanaan kerja pembaikan serta keadaan Tasik Wawasan dan menyelaras tindakan bersama semua pihak berkaitan sehingga isu ini ditangani dengan sewajarnya,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal berita di Threads melaporkan keadaan air Tasik Wawasan yang bertukar hitam dan berbau busuk, selain menggesa MBSJ serta agensi berkaitan mengambil tindakan segera.







