Jepun catat lebih 100,000 penduduk berusia 100 tahun buat kali pertama

15 Sep 2026, 7:03 AM
Jepun catat lebih 100,000 penduduk berusia 100 tahun buat kali pertama

TOKYO, 15 SEPT: Jumlah individu berusia 100 tahun ke atas di Jepun mencecah rekod tertinggi iaitu 107,677 orang pada September, meningkat bagi tahun ke-56 berturut-turut, lapor Kyodo News memetik data Kementerian Kesihatan Jepun pada Selasa.

Jumlah keseluruhan individu berusia seabad (centenarian) meningkat 7,914 orang berbanding tahun sebelumnya dan melepasi paras 100,000 buat kali pertama.

Wanita merangkumi 87.6 peratus daripada jumlah berkenaan, iaitu seramai 94,298 orang, menurut Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan.

Data yang disusun berdasarkan daftar penduduk setakat 1 Sept menunjukkan jumlah lelaki dan wanita berusia 100 tahun ke atas masing-masing meningkat sebanyak 1,400 dan 6,514 orang.

Seramai 54,294 lagi dijangka mencapai usia 100 tahun dalam tahun fiskal 2026, meningkat 1,984 orang berbanding tahun sebelumnya.

“Kami gembira ramai orang yang panjang umur dan kekal aktif, antaranya didorong oleh kemajuan teknologi perubatan.

“Ketika penduduk terus menua, amat penting untuk memastikan sistem keselamatan sosial kekal mampan,” kata Menteri Kesihatan Kenichiro Ueno pada sidang media.

Kos keselamatan sosial Jepun meningkat setiap tahun berikutan kadar kelahiran yang menurun dan populasi yang semakin menua, sekali gus memberi tekanan kepada kewangan awam, terutama ketika kedudukan fiskal negara itu sudah menjadi yang terburuk dalam kalangan ekonomi maju utama.

Fuyo Kishimoto, 114, penduduk Kyoto yang dilahirkan pada 20 Dis 1911 merupakan wanita tertua di Jepun, manakala Hikaru Kato, 112, dari Kumamoto yang dilahirkan pada 2 Mei 1914, ialah lelaki tertua di negara itu.

Secara purata, terdapat 87.51 penduduk berusia 100 tahun ke atas bagi setiap 100,000 penduduk di Jepun.

Jumlah mereka yang berusia 100 tahun ke atas di Jepun hanya 153 orang pada 1963 ketika pengumpulan data dimulakan.

Sejak 1970, apabila jumlahnya 310 orang, angka itu meningkat setiap tahun, melepasi 1,000 orang pada 1981, 10,000 pada 1998 dan 50,000 pada 2012.

Purata jangka hayat di Jepun pada 2025 ialah 87.33 tahun bagi wanita dan 81.35 tahun bagi lelaki.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.