Pertikaian pelaburan RM1.3 juta, Aisar Khaled dilapor kepada polis Indonesia

14 Sep 2026, 11:36 AM
Pertikaian pelaburan RM1.3 juta, Aisar Khaled dilapor kepada polis Indonesia

JAKARTA, 14 SEPT: Pertikaian berkaitan perjanjian pelaburan membabitkan pempengaruh Malaysia, Aisar Khaled kini dibawa kepada pihak berkuasa Indonesia selepas sebuah syarikat mendakwa masih terdapat kewajipan sekitar 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta) yang belum diselesaikan.

Menurut Tribunnews.com, laporan terhadap Aisar dibuat di Kepolisian Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) pada Isnin berhubung dakwaan penipuan selepas tiga notis tuntutan yang dihantar kepadanya didakwa tidak mendapat maklum balas.

Peguam syarikat berkenaan, Machi Achmad berkata laporan itu dibuat mengikut beberapa peruntukan dalam Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP).

“Kami hari ini mewakili pelanggan kami untuk melaporkan seorang pempengaruh mengikut Seksyen 492, 486 dan 607 Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023,” katanya ketika ditemui di Polda Metro Jaya pada Isnin.

Menurut Machi, pihaknya sudah menghantar tiga notis tuntutan kepada Aisar, namun mendakwa tidak menerima sebarang jawapan atau maklumat mengenai keberadaan pempengaruh itu.

Seorang lagi peguam, Michael Sugijanto berkata pertikaian tersebut berpunca daripada perjanjian pelaburan antara Aisar dengan syarikat berkenaan.

Katanya, berdasarkan perjanjian itu, terdapat baki kewajipan kira-kira 5.7 bilion rupiah yang didakwa masih belum diselesaikan.

“Dalam perjanjian itu, baki yang belum dibayar Aisar sekitar 5.7 bilion rupiah,” katanya.

Michael berkata Aisar turut mempunyai beberapa kewajipan lain berdasarkan perjanjian tersebut, termasuk menghadiri acara tertentu secara langsung sebagai sebahagian daripada penyelesaian kewajibannya.

Bagaimanapun, pihak syarikat mendakwa perkara berkenaan masih belum diselesaikan seperti yang dipersetujui.

Menurut Michael, pihaknya sebelum ini sudah berusaha menyelesaikan pertikaian tersebut secara baik dengan menghubungi Aisar selain menghantar notis tuntutan, namun mendakwa tidak menerima sebarang maklum balas.

Laporan polis itu kini membuka ruang kepada pihak berkuasa Indonesia menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam pertikaian berkenaan.

Setakat laporan Tribunnews.com yang diterbitkan pada Isnin, Aisar belum memberikan sebarang kenyataan berhubung laporan dan dakwaan terhadapnya.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.