SHAH ALAM, 14 SEPT: Elaun RM8 sejam yang diterima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) perlu disemak semula kepada kadar lebih munasabah kerana kadar itu berada di bawah paras gaji minimum, kata Menteri Dalam Negeri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan kiraan, anggota RELA yang bertugas lapan jam sehari selama 24 hari hanya menerima RM1,536 sebulan, lebih rendah daripada kadar gaji minimum RM1,700, lapor Berita Harian.
Katanya, bagi anggota yang bertugas sehingga 12 jam sehari dalam tempoh sama, jumlah elaun diterima ialah RM2,304, iaitu hanya sedikit melebihi kadar gaji minimum.
"RM1,700 adalah kadar gaji minimum. Dengan mereka bertugas selama 24 hari, RM8 satu jam, kalau lapan jam sehari (bermakna) RM64 sehari dan RM64 kali 24 hari, (kadar itu) bawah daripada gaji minimum.
"Kalau mereka bertugas 12 jam, RM96 kali 24 hari, lebih sedikit sahaja daripada kadar gaji minimum," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.








