SHAH ALAM, 14 SEPT: Sebanyak 65 saman dikeluarkan manakala enam motosikal disita dalam operasi penguatkuasaan trafik oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Klang Selatan, semalam.
Operasi membabitkan Operasi Mabuk, Operasi Motosikal dan Operasi Samseng Jalanan itu dijalankan bermula jam 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi.
"Sepanjang operasi, polis memeriksa 66 individu serta 50 kenderaan sebelum mengeluarkan 65 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas," kata kenyataan menerusi Facebook Polis Klang Selatan.
Antara kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, kesalahan nombor pendaftaran serta pengubahsuaian kenderaan.
Dalam operasi sama, seorang lelaki tempatan ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan.
Lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selain tindakan saman dan tangkapan, enam motosikal turut disita atas pelbagai kesalahan yang dikesan sepanjang operasi berkenaan.
Operasi selama lima jam itu memberi tumpuan kepada kesalahan berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol, motosikal serta kegiatan samseng jalanan.








