Catur Melayu dihidupkan semula, perkukuh warisan dan identiti bangsa

12 Sep 2026, 1:00 PM
Catur Melayu dihidupkan semula, perkukuh warisan dan identiti bangsa
Catur Melayu dihidupkan semula, perkukuh warisan dan identiti bangsa
Catur Melayu dihidupkan semula, perkukuh warisan dan identiti bangsa
Catur Melayu dihidupkan semula, perkukuh warisan dan identiti bangsa
Catur Melayu dihidupkan semula, perkukuh warisan dan identiti bangsa

SHAH ALAM, 12 SEPT: Permainan warisan catur Melayu perlu dihidupkan semula bagi memastikan warisan itu terus dikenali generasi akan datang, selain memperkukuh identiti bangsa dan kemahiran berfikir.

Ahli Jawatankuasa Catur Melayu, Rifky Kesuma Suherman berkata usaha memperkenalkan semula permainan berkenaan penting supaya catur Melayu tidak sekadar menjadi nostalgia zaman lampau.

Pengajar Catur Melayu Rifky Kesuma Suherman, 22 di Seksyen U4 Shah Alam pada 12 September 2026. Foto HARUN TAJDUIN/MEDIA SELANGOR

“Saya mahu mengembalikan semula catur Melayu kerana permainan ini merupakan warisan dan identiti bangsa yang boleh menguatkan kembali jati diri.

“Setakat ini, kebanyakan yang bermain catur Melayu sudah lama tiada kerana permainan ini semakin ditolak oleh permainan catur baharu (antarabangsa).

“Apabila British datang, mereka membawa catur mereka sendiri yang dimainkan sehingga kini. Jadi, dengan mengembalikan semula catur Melayu, kita dapat memperkenalkan permainan kita sendiri supaya generasi muda tidak lupa dan berasa segan dengan warisan sendiri,” katanya.

Ditemui di Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu, Rifky berkata terdapat 16 jenis catur Melayu, antaranya catur Harimau, Perang, Jawa, Sembilan, Pasang, Raja, Mul-Mulan, Cuki, Bakujur, Sam, Sodok Apit, Rigala, Tabal, Gajah, Batak dan Pacih.

Antara catur Melayu yang ditunjukkan pengajar Catur Melayu, Rifky Kesuma Suherman, ketika sesi temu bual di Seksyen U4, Shah Alam pada 12 September 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, catur Gajah dan catur Perang antara permainan yang popular serta pernah dimainkan pelbagai lapisan masyarakat.

“Catur Gajah ini mempunyai empat jenis buah atau bahagian dengan pergerakan yang agak berbeza daripada catur antarabangsa, cuma cara makan buah lawan sahaja yang sama.

“Apabila dipopularkan pada zaman British, semua lambang, gambar manusia serta haiwan dibuang apabila datang pengaruh Islam kerana tidak lagi menampilkan ukiran-ukiran tersebut,” katanya.

Beliau berkata, catur Perang pula mempunyai konsep permainan yang hampir menyerupai dam haji, namun menggunakan papan bercorak yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu rimba, medan dan sayap.

Pengajar Catur Melayu, Rifky Kesuma Suherman bermain catur Melayu ketika sesi temu bual di Seksyen U4, Shah Alam pada 12 September 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Rifky berkata antara usaha untuk mengembalikan populariti catur Melayu ialah membuka kelas bagi memperkenalkan permainan itu kepada masyarakat tanpa mengira peringkat usia.

“Kelas catur Melayu ini hanya permulaan dan kita akan cuba perkenalkan di peringkat sekolah serta kelab riadah.

“Saya mahu dengan adanya kelas ini, kita dapat kumpulkan pemain terlebih dahulu, membentuk komuniti dan kemudian mengadakan pertandingan catur Melayu.

“Kita uar-uarkan kelas catur Melayu ini di media sosial dan sambutannya amat baik kerana rata-rata tertarik dengan permainan ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Danial Azim Mohamed Zaini, 22, berkata beliau menyertai kelas berkenaan kerana berminat mempelajari variasi permainan catur serta mengenali catur Melayu dengan lebih mendalam.

Mohamed Danial Azim Mohamed Zaini, 22 ketika ditemu bual di Seksyen U4 Shah Alam pada 12 September 2026. Foto HARUN TAJDUIN/MEDIA SELANGOR

“Setelah mengikuti kelas catur Melayu selama beberapa jam, bagi saya catur Jawa menarik kerana memerlukan kita berfikir dari perspektif yang lebih meluas.

“Saya mahu datang lagi selepas ini dan membawa kawan-kawan lain untuk menyertai kelas ini supaya lebih ramai dapat menguasai catur Melayu sekali gus mengembangkan permainan ini,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.