Ilmu turath kekal relevan hadapi lambakan maklumat digital

12 Sep 2026, 7:00 AM
Ilmu turath kekal relevan hadapi lambakan maklumat digital
Ilmu turath kekal relevan hadapi lambakan maklumat digital
Ilmu turath kekal relevan hadapi lambakan maklumat digital
Ilmu turath kekal relevan hadapi lambakan maklumat digital
Ilmu turath kekal relevan hadapi lambakan maklumat digital

SHAH ALAM, 12 SEPT: Ilmu turath kekal relevan untuk didalami pada zaman moden, terutama ketika masyarakat berdepan lambakan maklumat yang boleh diperoleh dengan mudah di hujung jari.

Pengarah Yayasan Turath Islami, Al-Mustaqeem M Radhi berkata kemudahan mendapatkan pelbagai kandungan khususnya menerusi media sosial turut menyumbang kepada krisis autoriti atau kewibawaan dalam mendapatkan ilmu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam membezakan antara maklumat dan ilmu.

“Ketika ini semuanya di hujung jari. Namun, apa yang kita lihat di skrin itu sebahagian besarnya maklumat.

“Ilmu berbeza, ilmu ini perkara yang kita perlu gali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Semasa bertajuk 'Ilmu turath masih relevan?' terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Pengarah Yayasan Turath Islami, Al-Mustaqeem M Radhi ketika program Bicara Semasa Topik : Ilmu Turath Masih Relevan? di Studio Utama Media Selangor, Shah Alam pada 3 September 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELAGOR

Al-Mustaqeem berkata tradisi keilmuan Islam penting kerana mengingatkan masyarakat bahawa setiap bidang mempunyai pakar serta individu berautoriti dan berwibawa yang wajar dijadikan rujukan.

Menurutnya, masyarakat masih boleh membaca dan mendapatkan pelbagai pandangan menerusi media sosial, namun kandungan berkenaan tidak seharusnya terus membentuk pandangan tanpa menilai kewibawaan individu yang menyampaikannya.

Situasi itu menuntut tradisi keilmuan Islam untuk terus dihidupkan, termasuk menerusi pengajian turath.

Turath membawa maksud warisan atau pusaka yang merangkumi khazanah keilmuan dan kebudayaan Islam serta tidak terhad kepada kitab semata-mata.

Justeru, katanya usaha menghidupkan tradisi itu menjadi antara matlamat utama penganjuran Festival Turath Islami Selangor yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 2023.

Festival berkenaan kini memasuki tahun keempat penganjuran dan buat julung kalinya diperluas ke peringkat nasional sebagai Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026 selepas tiga edisi dianjurkan di Selangor.

Bermula 13 September ini, festival bertemakan ‘Hikmah Warisan Islam’ itu berlangsung selama lapan hari di beberapa lokasi sekitar Putrajaya dengan menampilkan 42 sesi pengajian.

Penganjuran itu menghimpunkan tokoh ulama antarabangsa serta 23 ulama tempatan.

Fahami khazanah lama sebelum ubah ikut zaman

Dalam pada itu, Al-Mustaqeem mengingatkan masyarakat supaya tidak terlalu cepat menganggap ilmu turath perlu diperbaharui atau disesuaikan dengan zaman moden tanpa memahami khazanah tersebut terlebih dahulu.

“Khazanah warisan keilmuan Islam ini terlalu luas untuk kita tiba-tiba tampil agak sombong dan kita kata yang lama ini perlu diperbaharui.

"Gali dulu dan cuba faham dulu,” katanya.

Pengarah Yayasan Turath Islami, Al-Mustaqeem M Radhi ketika program Bicara Semasa Topik : Ilmu Turath Masih Relevan? di Studio Utama Media Selangor, Shah Alam pada 3 September 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELAGOR

Beliau berkata banyak khazanah keilmuan Islam, termasuk kitab Jawi dan kitab kuning ulama Nusantara masih memerlukan kajian dan pengajian yang lebih mendalam.

Tambahnya lagi, banyak masalah yang dihadapi masyarakat hari ini sebenarnya bukan sesuatu yang benar-benar baharu, sebaliknya hanya muncul dalam bentuk berbeza.

“Masalah semasa ini kadang-kadang cuma baju yang lain tapi inti permasalahannya sama. Sepanjang zaman, masalah itu sebenarnya sentiasa ada, sentiasa berulang," katanya.

Beliau berkata tradisi keilmuan Islam terbentuk melalui perbahasan dan pengajian oleh pelbagai generasi, bangsa serta masyarakat dari pelbagai pelosok dunia.

Justeru, khazanah berkenaan tidak wajar diketepikan hanya kerana ia dianggap lama atau tidak lagi sesuai dengan kehidupan moden.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.