SHAH ALAM, 11 SEPT: Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang mempunyai baki simpanan minimum RM15,000 layak secara automatik berada dalam giliran menunaikan haji menerusi Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah yang dilancarkan hari ini.
Pendeposit sedia ada diberi tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai baki berkenaan, sebelum giliran haji disusun semula mulai 1 Januari 2029 berdasarkan tarikh pendaftaran dan pencapaian baki RM15,000.
TH berkata langkah itu bagi membantu rakyat Malaysia membuat persediaan menunaikan ibadah Haji secara lebih sistematik, mudah dan dapat direalisasi.
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata inisiatif berkenaan mengambil kira maklum balas pendeposit di seluruh negara yang mahukan panduan lebih jelas dan laluan persediaan yang lebih tersusun.
"Inisiatif ini adalah untuk membantu umat Islam di Malaysia menterjemahkan niat kepada tindakan. Mereka yang menyimpan secara konsisten dan membuat perancangan awal bersama kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merealisasikan impian menunaikan Haji," katanya menerusi kenyataan.
Menurut TH, hampir 50 peratus pendeposit yang menerima surat tawaran haji sebelum ini terpaksa menangguhkan hasrat mereka, manakala kos menunaikan haji kini mencecah RM33,300 seorang.
"Keperluan baki simpanan minimum RM15,000 yang diperkenalkan pada tahun 2025 sebagai syarat menerima surat tawaran haji telah menunjukkan keberkesanan apabila kadar penangguhan berjaya dikurangkan kepada 18 peratus, berbanding purata 50 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.
"Antara ciri utama pelan ini ialah pelaksanaan sistem kelayakan Haji yang lebih sistematik dan dinamik, yang menggantikan proses pendaftaran serta pengurusan giliran sedia ada, tanpa menjejaskan prinsip siapa dahulu, didahulukan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah turut memberi panduan kepada pendeposit untuk merancang simpanan lebih awal.
"Apabila seseorang mengetahui jumlah simpanan yang perlu dicapai dan bermula lebih awal, persediaan Haji menjadi lebih mudah, lancar dan dapat direalisasi," katanya dalam kenyataan sama.
Tambah beliau, TH turut menyediakan Kalkulator Simpanan Haji menerusi laman web baharu bagi membantu individu merancang jumlah simpanan bulanan berdasarkan tempoh dan sasaran masing-masing.
Mulai 19 September ini pula, TH memperkenalkan Tabung Istito’ah bagi membantu rakyat Malaysia membentuk disiplin simpanan secara lebih sistematik dan berfokus.
Selain itu, menerusi kemudahan Multi Tabung, pendeposit boleh mempunyai dua tabung dalam satu akaun TH iaitu Tabung Am dan Tabung Istito’ah.
"Tabung Am adalah tabung utama bagi urusan simpanan dan pengeluaran seperti sedia ada. Tabung Istito'ah untuk membantu pendeposit menyimpan secara sukarela dengan lebih berdisiplin dan berfokus ke arah persediaan menunaikan Haji, sekali gus menjadi penanda aras tahap kesiapsiagaan kewangan mereka selaras dengan prinsip Istito'ah," jelasnya.
Menerusi Seruan Istito’ah, TH terus memperkukuh peranannya sebagai institusi simpanan Islam pilihan, selaras aspirasi Almarhum Profesor Diraja Tan Sri Dr Ungku Aziz, serta sebagai institusi yang dipercayai dalam membimbing umat Islam Malaysia mencapai rukun Islam kelima.








