KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik sebanyak 25 sen seliter bagi tempoh 10 hingga 16 Sept 2026.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan RON97 ditetapkan pada RM4.50 seliter berbanding RM4.25 seliter sebelum ini manakala RON95 naik kepada RM4.02 berbanding RM3.77 seliter dan diesel tanpa subsidi kepada RM4.92 daripada RM4.67 seliter.
MOF memaklumkan harga mentah dunia meningkat ketara sepanjang tempoh pengiraan harga Mekanisme Harga Automatik (APM) susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang kembali meruncing serta peningkatan risiko gangguan bekalan petroleum melalui Selat Hormuz.
“Harga minyak mentah Brent meningkat sepanjang tempoh pengiraan APM sebelum mencecah USD97.31 setong pada Isnin. Premium risiko geopolitik terhadap bekalan minyak dunia turut meningkat susulan serangan berbalas yang berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Pada masa sama, pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat. Gangguan kapasiti penapisan di Asia Barat serta serangan berterusan terhadap loji penapisan Rusia telah mengurangkan bekalan petrol, diesel dan produk petroleum lain ke pasaran antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
MOF memaklumkan harga diesel di pasaran antarabangsa turut meningkat lebih pantas berbanding minyak mentah berikutan kekangan kapasiti penapisan dan inventori yang semakin menyusut.
“Selepas 193 hari konflik di Asia Barat, aliran petroleum melalui Selat Hormuz dan kapasiti penapisan global masih belum kembali normal. Sekiranya keadaan ini berpanjangan, inventori yang semakin menyusut serta bekalan produk petroleum bertapis yang semakin ketat boleh meningkatkan premium risiko terhadap harga petrol dan diesel dunia,” menurut MOF.
MOF memaklumkan Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.
Menerusi BUDI95, penerima yang layak terus membayar RM1.99 seliter bagi RON95, dengan kerajaan menanggung subsidi RM2.03 seliter atau 50 peratus daripada harga tanpa subsidi RM4.02.
Bagi BUDI Diesel pula, penerima membayar RM2.10 seliter dengan subsidi kerajaan sebanyak RM2.82 seliter atau 57 peratus daripada harga tanpa subsidi RM4.92.
Sementara itu, harga petrol di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.
MOF turut memaklumkan had kelayakan asas bulanan BUDI95 dan BUDI Diesel telah dinaikkan semula kepada 300 liter mulai 1 Sept lepas manakala pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak menerima tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan hingga 400 liter sebulan.






