SHAH ALAM, 9 SEPT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan empat kompaun kepada sebuah premis atas kesalahan menimbulkan kacau ganggu halangan di tempat awam di Jalan Besar, Pekan Kapar, hari ini.
Pengarah Komunikasi Korporat MBDK Norfiza Mahfiz berkata tindakan kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Satu operasi telah dilaksana Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa berhubung aduan premis perniagaan sehinga timbul kacau ganggu.
“Pemeriksaan dijalankan jam 11.45 pagi dan ketika tiba di lokasi mendapati premis ini beroperasi dengan mempunyai lesen perniagaan sab daripada MBDK namun tidak mempunyai permit kaki lima.
“Oleh itu, empat kompaun telah diserahkan kepada wakil syarikat iaitu pekerja atas kesalahan menimbulkan kacau ganggu halangan di tempat awam,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, berdasarkan perundangan, pemilik premis perlu membayar RM250 bagi setiap kompaun dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis. Kegagalan membayar menyebabkan tindakan mahkamah diteruskan.
“MBDK akan memperhebat operasi seperti ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pemilik premis mematuhi peraturan disediakan sekaligus menjamin kebersihan,” katanya.







