SHAH ALAM, 9 SEPT: Cubaan seorang wanita Malaysia membawa lebih 15 kilogram (kg) ganja bernilai kira-kira 52.5 juta rupee (RM2.24 juta) ke India gagal selepas dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (IGI), New Delhi, Jumaat lalu.
Kastam Delhi memaklumkan wanita berkenaan tiba di Terminal 3 dari Kuala Lumpur sebelum dikenal pasti menerusi proses pemprofilan penumpang.
Suspek yang melalui laluan hijau kemudiannya diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut oleh pegawai kastam.
“Pemeriksaan terhadap beg troli dibawanya menemukan 30 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki ganja.
“Berat bersih bahan disyaki ganja itu ialah 15,015.5 gram dengan nilai pasaran dianggarkan 52.5 juta rupee,” katanya dalam kenyataan.
Wanita berkenaan kemudian ditahan manakala bahan terlarang terbabit disita mengikut Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) 1985.
Kes direkodkan mengikut Seksyen 8, 20, 23 dan 29 akta sama yang merangkumi peruntukan berkaitan pengimportan dadah secara haram, persubahatan serta konspirasi jenayah.
Setakat ini, pihak berkuasa India belum mendedahkan identiti dan umur suspek.
Maklumat mengenai asal ganja itu, individu yang dipercayai menyerahkannya kepada wanita berkenaan serta pihak yang sepatutnya menerima dadah terbabit di India juga belum diketahui.
Kastam Delhi turut belum memaklumkan sama ada suspek menerima sebarang bayaran untuk membawa dadah berkenaan.
Siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa India.





