Misi Nepal: United Sikhs redah 16 jam ke Syapru Besi

8 Sep 2026, 3:27 PM
Misi Nepal: United Sikhs redah 16 jam ke Syapru Besi

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Selama 16 jam meredah laluan tidak berturap, berdepan jalan sempit, kenderaan terperangkap dalam lumpur serta bekalan bahan api terhad antara cabaran ekstrem ditempuhi pasukan United Sikhs Malaysia untuk sampai ke kawasan terjejas banjir di Nepal.

Naib Presiden United Sikhs Malaysia Mandeep Singh yang mengetuai pasukan lima anggota itu berkata keadaan laluan alternatif yang amat mencabar memaksa mereka bergerak perlahan dan berhati-hati dari Kathmandu sebelum tiba di Dhunche.

Beliau berkata pasukan itu mendirikan pangkalan operasi di Dhunche sebaik tiba pada tengah malam 6 Sept lepas, sebelum bergerak menuju ke 'Ground Zero' di Syapru Besi bagi menjalankan tinjauan awal dan mengenal pasti keperluan mangsa.

"Laluan alternatif ke Syapru Besi yang terletak kira-kira 40 kilometer sebelum sempadan Tibet berada dalam keadaan amat teruk dan banyak kenderaan tersekat di dalam lumpur, termasuk kenderaan kami.

"Sebahagian besar laluan hanya mempunyai satu lorong menyebabkan pergerakan sangat perlahan dan sukar dijangka serta perlu dirancang dengan teliti. Akses kepada makanan dan bahan api juga sangat terhad sepanjang perjalanan," katanya kepada Bernama ketika berkongsi perkembangan terkini misi itu, hari ini.

Mandeep berkata dua laluan utama menuju ke Syapru Besi terjejas teruk dengan jalan hidro dari Betrawati, yang menyusuri sungai sejauh kira-kira 42 kilometer lenyap sepenuhnya, manakala laluan alternatif pula terputus kira-kira dua kilometer sebelum kawasan berkenaan sehingga ke persimpangan menuju sempadan.

"Kemusnahan di Syapru Besi amat dahsyat. Lonjakan air atau kepala air dianggarkan mencecah antara 225 hingga 250 kaki, hampir menyamai ketinggian sebuah bangunan 22 tingkat," katanya.

Beliau berkata Pasukan A kini menumpukan tinjauan di kawasan terjejas sepanjang kira-kira 95 kilometer di sepanjang Sungai Trishuli, dan akan mengedarkan keperluan seperti kanvas tarpaulin, khemah sementara serta kelambu kepada mangsa yang boleh diakses.

"Pasukan A akan menyerahkan semua data tinjauan yang telah disahkan kepada Pasukan B yang dijangka tiba selewat-lewatnya 11 Sept ini kelak untuk mengambil alih dan meneruskan pengagihan bantuan," katanya.

Dalam pada itu, Mandeep berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa bencana masih diteruskan pasukan penyelamat tempatan, manakala United Sikhs Malaysia turut berkoordinasi rapat dengan sukarelawan di lapangan bagi mendapatkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang hilang.

Setakat ini, tragedi banjir besar di negara berkenaan dilaporkan meragut 1,357 nyawa, manakala 5,326 mangsa masih hilang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.