SHAH ALAM, 8 SEPT: Potensi debu gunung berapi Anak Krakatau di Indonesia sampai ke Malaysia ketika ini adalah rendah berdasarkan analisis arah dan kelajuan angin semasa.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, sebaran debu ketika ini lebih tertumpu di sekitar Selat Sunda dan wilayah berhampiran di Indonesia, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, beliau berkata perubahan arah serta kelajuan angin selain kemungkinan berlaku letusan susulan boleh mempengaruhi pergerakan debu berkenaan.
“MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini menggunakan data satelit dan analisis keadaan atmosfera.
“Maklumat daripada Pusat Nasihat Debu Gunung Berapi (VAAC) global juga membolehkan sebarang potensi pergerakan debu ke ruang udara Malaysia diketahui dan dimaklumkan kepada rakyat dengan segera,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan letusan berterusan Anak Krakatau sejak Jumaat lalu menyebabkan abu vulkanik tersebar sehingga enam lapangan terbang menggantung operasi penerbangan.
Gangguan itu turut menjejaskan penerbangan domestik dan antarabangsa termasuk laluan menghubungkan Jakarta dengan Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, Sydney, Seoul/Incheon, Doha dan Amsterdam.
Mohd Hisham berkata, sekiranya debu berkenaan memasuki ruang udara Malaysia, kesan utama dijangka membabitkan operasi penerbangan dalam dan luar negara.
Menurutnya, aktiviti letusan gunung berapi dipantau VAAC di bawah seliaan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Sekiranya maklumat diterima berpotensi memberi kesan kepada ruang udara Malaysia, MetMalaysia akan mengeluarkan amaran atau nasihat ancaman debu gunung berapi kepada pihak berkuasa penerbangan awam (CAAM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), syarikat penerbangan dan operator lapangan terbang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan jarak ketampakan rendah yang berlaku ketika ini, khususnya di Sarawak dan sebahagian barat Semenanjung, berpunca daripada jerebu rentas sempadan dan bukan debu gunung berapi Anak Krakatau.








