Nilai pelaburan Selangor berpotensi mencecah RM100 bilion tahun ini

8 Sep 2026, 6:15 AM
Nilai pelaburan Selangor berpotensi mencecah RM100 bilion tahun ini
Nilai pelaburan Selangor berpotensi mencecah RM100 bilion tahun ini

KUALA LANGAT, 8 SEPT: Nilai pelaburan Selangor berpotensi mencecah RM100 bilion pada tahun ini, sekali gus melepasi sasaran RM80 bilion yang ditetapkan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini prestasi negeri menunjukkan perkembangan positif dengan nilai pelaburan mencecah kira-kira RM70 bilion setakat pertengahan tahun.

"Kita letak sasaran RM80 bilion sebagaimana pencapaian 2025 tetapi sehingga pertengahan 2026 kita sudah capai RM70 bilion. Itu adalah yang terbesar di Malaysia.

"Kita sangat percaya akan dapat melepasi sasaran RM80 bilion malahan kalau trend sangat bagus, kita yakin boleh mencipta rekod lebih RM100 bilion sebagaimana yang kita capai pada 2024," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Milikan Kosong Fasa 1 dan Pelancaran Fasa 2 Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) yang turut dihadiri EXCO Pelaburan Ng Sze Han di Mukim Tanjung Dua Belas, di sini.

Dalam pada itu, Amirudin menambah, prestasi pelaburan negeri turut dipengaruhi situasi semasa, termasuk cabaran berkaitan rantaian bekalan, risiko bencana serta krisis geopolitik dunia.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri akan mempergiat misi perdagangan dan pelaburan ke luar negara bagi menarik lebih banyak pelaburan sekali gus membuka peluang pasaran baharu kepada syarikat tempatan.

"Dunia berubah dengan sangat pantas. Harapnya keadaan bertambah baik dan kita boleh teruskan misi pelaburan ke luar negara sebab sebahagian besar daripada pelaburan itu bukan sahaja mereka datang ke sini, tetapi kita juga ke sana,” katanya.

Amirudin berkata, beliau yakin pembangunan baharu seperti Pelabuhan Ketiga di Pulau Carey, kawasan perindustrian di Bukit Raja, Klang serta beberapa kawasan lain mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi di Selangor.

Malah, katanya, pertambahan jaringan pengangkutan termasuk perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga dijangka memberi kesan positif sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan pelaburan di semua wilayah.

“Kalau ECRL beroperasi seperti dijadualkan pada akhir tahun ini, ia akan merancakkan kawasan di utara. Di sini pula, sekiranya jalan raya seluruhnya siap, kita ada kira-kira tujuh hingga lapan kilometer yang akan digunakan," katanya.

April lalu, Invest Selangor Berhad mengumumkan sasaran nilai pelaburan sebanyak RM80 bilion pada tahun ini, meningkat daripada sasaran RM65 bilion pada 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hasan Azhari Idris dilapor berkata Selangor yakin mampu mencapai sasaran itu walaupun berdepan semakan semula belanjawan susulan ketidaktentuan global akibat konflik Asia Barat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.