KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa generasi muda agar tidak sekadar mengenang Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai tokoh sejarah, sebaliknya menghidupkan semula obor perjuangan dan gagasan negarawan itu dalam mendepani cabaran pembinaan negara bangsa.
Anwar berkata usaha mengenang jasa Perdana Menteri kedua itu perlu disertai pemahaman mendalam terhadap gagasan, pemikiran serta nilai yang diperjuangkannya agar dapat dijadikan panduan utama dalam menghadapi cabaran semasa.
Beliau menegaskan tokoh seperti Tun Abdul Razak tidak seharusnya dilihat sekadar sebahagian daripada catatan sejarah kerana pemikiran dan perjuangannya mempunyai nilai yang terus relevan untuk generasi hari ini serta masa hadapan.
"Tokoh ini tidak sembarangan dan tidak datang dan pergi sebagai suatu kisah sejarah yang mudah. Sebab itu tanggungjawab kita adalah bagaimana untuk menyemarakkan lagi api semangat obor perjuangannya.
"Mengenang negarawan bukan tugas mudah, ia boleh menyingkap sejarah, mendambakan perubahan, menghidupkan semangat kewajaran untuk dijadikan pengajaran dan iktibar," katanya ketika berucap pada program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: "Arkitek Pembangunan Negara Bangsa" di Memorial Tun Abdul Razak di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil serta Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Perdana Menteri berkata pemikiran dan semangat perjuangan Tun Abdul Razak perlu terus dihidupkan kerana gagasan ditinggalkan negarawan itu kekal relevan sebagai panduan generasi masa kini dan akan datang, bukannya sekadar watak sejarah.
Beliau berkata Allahyarham memainkan peranan penting sebagai nakhoda yang bijak dalam membangunkan negara selepas merdeka, ketika Malaysia berdepan pelbagai cabaran termasuk ketegangan kaum, ancaman komunis dan kedudukan ekonomi yang lemah.
"Negarawan seperti Tun Abdul Razak ini nakhoda yang sangat bijak dan pintar. Mencari dan menilai, meyakini tokoh-tokoh daripada penjawat awam, swasta, menyajikan yang terbaik dengan integriti untuk membantu beliau," katanya.
Anwar turut berkongsi pengalaman peribadinya sebagai mahasiswa yang pernah berinteraksi dengan Tun Abdul Razak di kediaman rasminya, Seri Taman, yang memberi perhatian dan menilai secara serius pandangan serta keresahan golongan muda ketika itu.
Beliau berkata pengalaman tersebut memperlihatkan keterbukaan Tun Abdul Razak untuk mendengar pandangan anak muda yang mempunyai sikap tegas dan mendesak perubahan walaupun pandangan mereka mungkin agak keras.
Perdana Menteri berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah antara legasi terpenting Allahyarham Tun Abdul Razak yang perlu difahami berdasarkan matlamat asalnya untuk menyusun semula struktur ekonomi dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
Beliau berkata DEB tidak seharusnya disalah tafsir sebagai dasar yang hanya memberi manfaat kepada golongan elit atau kroni, sebaliknya ia bertujuan mengangkat martabat golongan miskin serta memberi peluang kepada mereka yang berkemampuan untuk bersaing dalam bidang keusahawanan.
“Saya masih ingat lagi ucapan dan perbincangan kami ketika itu di Seri Taman. Kata beliau, orang miskin itu tidak kenal warna kulit…dan kebetulan (ketika itu) majoritinya orang Melayu.
“Bagi saya DEB masih suatu gagasan yang sangat agung dari sudut penyusunan masyarakat dan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, malangnya dalam naratif semasa, ia cenderung ditafsir dari sudut lain,” katanya.
Anwar berkata kerajaan hari ini tidak pernah berganjak daripada pendirian untuk membasmi kemiskinan secara menyeluruh, sekali gus meneruskan semangat asal yang diperjuangkan Tun Abdul Razak.
Perdana Menteri berkata prinsip perjuangan Allahyarham dalam menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum kekal relevan serta perlu diperkukuh mengikut tuntutan semasa.
Selain itu, beliau berkata generasi masa kini perlu menghayati pesanan Perdana Menteri kedua itu mengenai tiga ancaman utama negara atau '3C' iaitu komunisme (Communism), perkauman (Communalism) dan rasuah (Corruption).
Beliau berkata walaupun ancaman bersenjata komunis tidak lagi wujud seperti era sebelum ini, negara masih perlu berwaspada terhadap pengaruh ideologi asing, selain menangani sentimen perkauman dan gejala rasuah yang masih menjadi cabaran besar.
"(Isu) perkauman masih tebal, manakala rasuah masih menjadi satu daripada masalah di sini," katanya.
Anwar berkata peringatan Tun Abdul Razak mengenai rasuah amat signifikan, terutama pesanan beliau kepada golongan muda bahawa integriti mudah diikrarkan sebelum memegang kuasa, namun prinsip itu sering kali goyah apabila seseorang mula mempunyai kedudukan.
Sehubungan itu, beliau berharap program memperingati negarawan itu tidak sekadar menyingkap kisah kehidupan dan sumbangan Allahyarham, tetapi turut mengangkat gagasan serta pemikiran beliau untuk dihayati generasi baharu.
Program Mengenang Negarawan adalah anjuran Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara dan Yayasan Tun Razak, sebagai sebahagian daripada usaha mengenang dan mengangkat legasi negarawan negara agar terus dikenali serta dihayati oleh generasi masa kini dan akan datang.
-- BERNAMA



