CAS tolak rayuan Selangor FC, aksi piala FA tanpa penyokong kekal

8 Sep 2026, 4:29 AM
CAS tolak rayuan Selangor FC, aksi piala FA tanpa penyokong kekal

SHAH ALAM, 8 SEPT: Selangor FC kekal perlu beraksi tanpa kehadiran penyokong pada perlawanan timbal balik pusingan 16 Piala FA 2026-2027 menentang Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menerusi Emergency Sole Arbitrator semalam menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman yang difailkan Selangor FC.

“Permohonan secara kecemasan itu dibuat di bawah Rule 23 AIAC Rules 2026 dan didengar pada 5 petang semalam (waktu Malaysia).

“Susulan keputusan tersebut, hukuman ke atas Kelab Bola Sepak Selangor untuk bermain di stadium tanpa kehadiran penyokong bagi perlawanan Piala FA musim 2026/2027 menentang Sabah pada 9 September 2026 di gelanggang sendiri kekal berkuat kuasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, SFC berharap hukuman penggantungan dua perlawanan tanpa penyokong bagi saingan Piala FA dan denda RM10,000 yang dikenakan FAM dapat ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada AIAC bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM yang mengekalkan hukuman berkenaan.

Jelasnya, SFC melihat hukuman itu tidak adil dan mengambil langkah seterusnya dengan mengemukakan permohonan kepada AIAC.

Sebagai rekod, pada 15 November tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, memaklumkan Selangor didapati bersalah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 dan Perenggan 3 Kod Tatatertib FAM bagi Pertuduhan 1, 2, 3 dan 4 serta melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi Pertuduhan 5 ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada suku akhir Piala FA.

Selangor dan Sabah terikat 2-2 pada aksi pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pada Rabu lepas.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.