PM: ASEAN digesa teliti semula mekanisme tangani jerebu rentas sempadan

8 Sep 2026, 4:18 AM
PM: ASEAN digesa teliti semula mekanisme tangani jerebu rentas sempadan

PUTRAJAYA, 8 SEPT: ASEAN perlu meneliti semula mekanisme sedia ada dalam menangani isu jerebu rentas sempadan bagi mengelakkan impak buruk terhadap kesihatan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata menteri-menteri ASEAN perlu memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan memandangkan jerebu boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat, khususnya bayi dan kanak-kanak.

“Masih ada ruang untuk penambahbaikan. Saya berpendapat menteri-menteri ASEAN perlu melihat perkara ini dengan serius kerana ia menjejaskan kehidupan, khususnya kanak-kanak dan bayi. Jika kita lihat keadaan di Serian, ia sememangnya membimbangkan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini hari ini.

Kualiti udara di Serian, Sarawak dilaporkan kembali ke tahap bahaya apabila stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kawasan itu merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 302, pagi ini.

Jumaat lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengisytiharkan darurat jerebu di seluruh bahagian Serian susulan pencemaran udara yang membahayakan kesihatan awam, sebelum pengisytiharan itu ditamatkan semalam.

Perdana Menteri menegaskan isu pembakaran terbuka di Indonesia perlu diteliti secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran sebelum sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana pihak, 

Ditanya sekiranya terdapat syarikat Malaysia yang beroperasi di republik itu melakukan kesalahan sehingga menyumbang kepada isu jerebu, Anwar berkata negara ini menghormati sebarang tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa Indonesia.

“Kalau ada syarikat Malaysia yang terkesan (terlibat), kita beri ruang kepada Indonesia untuk mengambil tindakan. Kita tentunya akan menghormati tindakan di sana dan kita tidak akan mempertahankan (mereka),” katanya.

Beliau menegaskan Malaysia tidak akan campur tangan atau melindungi mana-mana syarikat sekiranya siasatan membuktikan mereka bertanggungjawab terhadap pembakaran terbuka atau pelanggaran undang-undang lain di negara jiran.

Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR) sebelum ini memberi amaran bahawa krisis jerebu rentas sempadan di rantau ini telah menjadi isu darurat hak asasi manusia yang perlu ditangani dengan segera oleh ASEAN dan negara-negara anggotanya.

APHR menggesa ASEAN dan negara anggotanya supaya menganggap isu jerebu rentas sempadan yang semakin buruk sebagai darurat hak asasi manusia, selain menggunakan Persidangan Pihak-Pihak kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang akan berlangsung di Da Nang, Vietnam pada Oktober ini untuk menangani kelemahan penguatkuasaan menyebabkan rantau ini terus berdepan pencemaran udara toksik selama hampir tiga dekad.

Antara lain, APHR turut menggesa negara anggota ASEAN membangunkan kerangka perundangan serantau bagi memastikan entiti korporat dipertanggungjawabkan terhadap kebakaran hutan berpunca daripada pengeringan tanah gambut, penebangan hutan didorong aktiviti komoditi serta pembakaran sisa pertanian.

APHR juga menggesa supaya semua syarikat perladangan yang mempunyai kawasan konsesi di landskap mudah terbakar, termasuk tanah gambut atau kawasan hutan, diwajibkan mendedahkan dan menerbitkan secara terbuka peta konsesi untuk dikongsi dengan semua negara anggota ASEAN bagi meningkatkan ketelusan dalam rantaian bekalan mereka.

Selain itu, APHR menggesa negara-negara anggota ASEAN menetapkan keperluan kebolehkesanan pada setiap peringkat rantaian bekalan sektor agribisnes dan industri makanan bagi mengenal pasti asal-usul komoditi serta mengurangkan risiko penebangan hutan, pembakaran sisa tanaman dan jerebu rentas sempadan dari puncanya.

APHR juga berkata ASEAN perlu mencapai persetujuan mengenai petunjuk kualiti udara yang seragam untuk digunakan di semua negara anggota bagi memantau dan menjejaki pencemaran udara berdasarkan metodologi yang sama serta mengambil tindakan sewajarnya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.